KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menerima kemenangan mudah untuk melangkah ke pusingan kedua Terbuka Perancis 2024 hari ini.
Beregu nombor lima dunia itu diberi kemenangan selesa selepas gandingan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel menarik diri ketika perlawanan terikat 12-12 di set pertama akibat kecederaan pada aksi di Arena Porte de la Chapelle di Paris.
Menanti Aaron-Wooi Yik adalah pasangan Taiwan, Lee Fang-chih-Lee Fang-Jen yang mara selepas menundukkan satu lagi beregu negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, 21-19, 21-17.
Dalam pada itu, beregu lelaki negara Tee Kai Wun-Man Wei Chong menjadi wakil pertama negara mara ke pusingan 16 selepas mudah menewaskan beregu Kanada Kevin Lee-Ty Alexander Lindeman, 21-16, 21-8 dalam pertarungan 25 minit.
Kai Wun-Wei Chong akan bertemu pilihan pertama kejohanan dari India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang melangkah ke pusingan seterusnya selepas menewaskan beregu profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, 21-13, 24-22.
Perseorangan wanita negara Goh Jin Wei pula terkandas seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pemain nombor sembilan dunia dari China, Wang Zhiyi, 21-10, 21-14.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial