SUKAN

TINDAKAN TEGAS AKAN DIAMBIL TERHADAP INDIVIDU TERLIBAT PERGADUHAN - FAM

04/03/2024 11:41 PM

PETALING JAYA, 4 Mac (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pergaduhan pada pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia musim ini.

Amaran itu diberikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM ACP (B) Md Dali Wahid sambil menegaskan aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan badan induk berkenaan.

Beliau berkata pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan berada di setiap venue pertandingan bagi memantau tahap keselamatan sepanjang perlawanan.

“Taklimat (kepada pasukan) hari ini banyak sentuh berkaitan segala peraturan dan undang-undang pertandingan, selain mengenai keselamatan sebab perlawanan Piala Belia dan Piala Presiden dianjurkan di padang terbuka dan sedikit di stadium.

“Bila main di padang terbuka seperti tahun lepas, ada insiden yang tak diingini contohnya pergaduhan, ada juga memukul pengadil, jadi kita tak nak perkara sama berlaku dan akan ambil tindakan tegas. PDRM juga akan berada pada perlawanan-perlawanan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Undian Piala Presiden dan Piala Belia 2024 yang berlangsung di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini hari ini.

Pada masa sama, Md Dali yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM melihat Piala Presiden dan Piala Belia masih relevan untuk melahirkan bakat-bakat baharu.

“Pertandingan ini merupakan projek pembangunan, saya yakin ia merupakan landasan bagi negeri memilih pemain-pemain untuk beraksi pada Sukma (Sukan Malaysia) nanti. Kami yakin akan lahir pemain-pemain terbaik untuk mewakili pasukan negara satu hari nanti,” katanya.

Sebanyak 16 pasukan akan berentap dalam pertandingan Piala Presiden yang merupakan saingan bagi kategori umur Bawah 20 Tahun (B-20) bermula 21 April ini, sementara Piala Belia (B-18) yang menghimpunkan 18 pasukan dijadual bermula pada 27 April.

Saingan peringkat kumpulan Piala Presiden dan Piala Belia menggunakan format liga dua pusingan sebelum empat pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati yang turut menggunakan format timbal balik sehingga final.

Berikut senarai pasukan yang bertanding pada Piala Presiden dan Piala Belia 2024:

 

Piala Presiden

-------------------

Kumpulan A: Johor Darul Ta’zim (JDT) III, Sabah FC, Terengganu FC III, Kuala Lumpur (KL) City FC, Perak FC III, Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) B-17, Melaka FA, Kelantan FA

Kumpulan B: Negeri Sembilan FC, Kuching City FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Penang FC, Kelantan United FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, PDRM FC

 

Piala Belia

-------------

Kumpulan A: Selangor FC, Sabah FC, Perlis United FC, Melaka FA, Kelantan United FC, Kelantan FA, Negeri Sembilan FC, Sri Pahang FC, KL City FC

Kumpulan B: JDT IV, Kuching City FC, AMD B-16, PDRM FC, Touchtronics FC, Penang FC, Terengganu FC IV, Perak FC IV, KDA FC

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan