KANGAR, 1 Mac (Bernama) -- Kontinjen negeri Perlis menyasarkan 10 pingat emas daripada 29 jenis sukan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang dijadualkan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata antara sukan yang diyakini dapat menyumbang pingat emas kepada kontinjen negeri itu ialah silat, taekwondo, berbasikal, petanque dan boling padang.
“Semangat yang ada pada atlet itu sendiri yang mewakili negeri, nak mengharumkan nama negeri, itu yang kita tanamkan dalam kalangan para atlet,” katanya kepada pemberita selepas majlis penghargaan atlet negeri Perlis dan melancarkan Road to SUKMA dan PARA SUKMA ke-21 Sarawak 2024 di Dewan Wawasan di sini malam tadi.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Perlis Wan Zikri Afthar Ishak.
Selain itu, Mohd Shukri turut mengharapkan atlet negeri Perlis berdisiplin dan tidak terlalu tertekan untuk mencapai kemenangan sehingga dikhuatiri boleh terlibat dengan gejala tidak sihat seperti pengambilan bahan terlarang.
Mohd Shukri berkata kerajaan negeri turut menyasarkan pingat bagi sukan golf pada SUKMA nanti.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Perlis memberikan insentif tambahan kepada empat atlet negeri yang berjaya membawa pulang pingat kepada Malaysia bagi Kejohanan Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Sukan Para Asia Hangzhou 2022 dengan jumlah keseluruhan RM20,000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial