AM

Tambah Baik Struktur Organisasi Antara Fokus Utama Hala Tuju Fama

27/02/2024 10:20 AM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Penambahbaikan struktur organisasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) adalah antara 12 usaha yang tersenarai dalam hala tuju agensi itu bagi tempoh 2023 hingga 2026.

Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata tumpuan itu diberikan bagi memperbaiki dan memastikan kepimpinan agensi itu berada pada landasan yang tepat selari dengan era digitalisasi.

"Organisasi FAMA ini sudah berusia 59 tahun tahun ini, jadi kita akan lihat pertukaran kepimpinan antara generasi lama kepada generasi muda dalam tempoh dua tahun ini. Jadi saya akan menyediakan pengganti dalam masa dua tahun lagi.

"Kemudian kita juga akan memperkasakan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran kakitangan sebab dengan perubahan dunia yang kini lebih mendesak untuk kita berubah terutama di era digital yang lebih menjurus kepada Kecerdasan Buatan (AI)," katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata tumpuan turut diberikan kepada usaha memperluasakan punca kuasa FAMA iaitu Subseksyen 3 (Fungsi dan Kuasa) melalui pindaan Akta 141 FAMA yang mencadangkan untuk menaik taraf peranannya sebagai agensi sekuriti makanan negara.

Abdul Rashid berkata FAMA akan turut memberi fokus terhadap usaha penambahbaikan Peraturan Pendaftaran Pemasar dan Peraturan GPL (3P) iaitu melaksanakan 70 pindaan terhadap Peraturan Grading (Penggredan), Packaging (Pembungkusan) dan Labelling (Pelabelan).

Beliau berkata pihaknya juga akan mempergiatkan usaha membantu golongan belia yang menceburi bidang pertanian melalui program khas seperti New Breed Market Entreprenuer (NBME), Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) dan program-program bimbingan lain dalam meningkatkan adaptasi golongan itu ke arah pendigitalan.

"Kita akan membimbing mereka, contoh jika produk mereka hendak dieksport, apa yang mereka perlu lakukan, bagaimana nak buat costing, nak jumpa bakal pengimport, kita bantu mereka dalam perkhidmatan seperti itu," katanya.

Katanya FAMA juga akan meneruskan penganjuran Program Jualan Agro MADANI dengan menyasarkan 5,000 program bakal diadakan pada tahun ini bagi membantu usaha kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.

"Tahun lepas kita dah berjaya laksana 5,271 program dan kita telah mencapai sasaran itu.Tahun ini kita akan meneruskan jualan berkenaan, malah tahun ini sehingga pertengahan Februari ini kita sudah hampir mencapai 720 program," katanya.

Sementara itu beliau berkata pihaknya juga akan terus mendukung dasar kerajaan dalam usaha menyelesaikan isu sekuriti makanan dan kos sara hidup dalam negara.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan