EKONOMI

Huawei, Mcmc Jalin Kerjasama Bangun Tenaga Kerja Dalam Industri Komunikasi Dan Multimedia

27/02/2024 09:26 PM

Daripada R. Ratcharathan

BARCELONA (Sepanyol), 26 Feb (Bernama) -- Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menjalin kerjasama membangun inisiatif pembangunan tenaga kerja dan menjalankan penyelidikan berkaitan dalam industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.  

Ketua pegawai eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun berkata syarikat tersebut yakin bahawa pengalaman, kepakaran dan rangkaian mereka akan dapat menyokong objektif dan inisiatif MCMC ke arah membina ekosistem pembangunan tenaga kerja dan penyelidikan industri komunikasi dan multimedia yang teguh.

“Huawei Malaysia terus mengambil pendekatan proaktif untuk memperkasakan keupayaan Malaysia dalam ekonomi digital dan daya saing global. Kami percaya bahawa standard penyampaian adalah setanding dengan tenaga kerja yang melaksanakannya,” katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut di luar acara Mobile World Congress Barcelona (MWC) atau Kongres Mudah Alih Dunia (MWC 2024), di sini, pada Isnin.

MoU tersebut dimeterai oleh ketua pegawai eksekutif MCMC Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan naib presiden Huawei Malaysia Zac Chow serta disaksikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Simon.

Menerusi kerjasama ini, program ‘Digital Leadership Excellence: Navigating the Tech Frontier’ akan dijalankan bagi membimbing kira-kira 300 pemimpin daripada industri dan sektor awam dalam masa tiga tahun dengan sasaran tempoh dari 2024 hingga 2026.

MCMC and Huawei Malaysia juga akan membangunkan bersama dan melaksanakan program khusus, kelayakan mikro dan pensijilan untuk menangani keperluan pembangunan tenaga kerja industri pada masa ini dan di masa depan.  

Dalam bidang penyelidikan, kedua-dua pihak akan menjalankan inisiatif penyelidikan kolaboratif untuk mengenal pasti kecekapan dan kemahiran digital yang penting bagi pertumbuhan industri.

Pelbagai aspek industri komunikasi dan multimedia akan diteliti berserta kajian mengenai isu berkaitan serantau, sosial dan digital untuk memastikan kesahihan dan perkaitan hasil penyelidikan yang akan memberi sumbangan penting kepada kemajuan industri.

Terdahulu, Fahmi merasmikan Malaysian Pavilion di MWC 2024, perhimpunan tahunan terbesar industri telekomunikasi anjuran badan antarabangsa, Groupe Speciale Mobile Association (GSMA), dengan Barcelona dipilih sebagai tuan rumah. 

MWC 2024 yang berlangsung selama empat hari itu bermula hari ini dijangka dihadiri lebih 100,000 pemain industri telekomunikasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan