AM

Teroka Langkah Inovatif Pastikan Keterjaminan Makanan - Sultan Nazrin

23/02/2024 10:52 AM

IPOH, 23 Feb (Bernama) -- Langkah-langkah inovatif perlu diteroka untuk memastikan keterjaminan makanan selain menambah baik sistem pengagihan, meminimumkan pembaziran dan memastikan rakyat mudah mendapat akses kepada makanan segar dan berkhasiat.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah keterjaminan makanan bukan sahaja untuk memastikan tiada rakyat yang tidur dalam kelaparan, tetapi juga bagi memastikan setiap keluarga mempunyai akses kepada makanan yang selamat dan berkhasiat. 

“Masalah kekurangan zat makanan menjadi penyebab kepada penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, penyakit jantung dan kanser yang semakin meningkat tinggi.

“Perlu diterokai langkah-langkah inovatif untuk menambah baik pengagihan makanan, meminimumkan pembaziran dan memastikan rakyat mudah mendapat akses kepada makanan segar lagi berkhasiat,” titah Sultan Nazrin pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Baginda bertitah rakyat wajib digerakkan untuk berada di barisan hadapan menjayakan program bumi hijau selain sekolah, masjid dan badan-badan belia berperanan kritikal untuk menyedarkan para pelajar dan generasi muda terhadap pentingnya penglibatan rakyat dalam menghasilkan bahan makanan. 

Sultan Nazrin bertitah para belia, pelajar dan ahli kariah masjid hendaklah disemaikan minat dan didedahkan pengetahuan menghijaukan bumi dengan bahan-bahan makanan dan menghasilkan bahan makanan ialah ibadah iaitu fardu kifayah yang wajar dilaksanakan demi menjamin kelangsungan ummah.

Baginda berkongsi usaha kerajaan Perak yang sentiasa berusaha meningkatkan pengeluaran sumber makanan. 

“Pada tahun 2023, pengeluaran hasil komoditi sayur-sayuran meningkat tiga peratus (dari 116,764 metrik tan pada tahun 2022 ke 120,121 metrik tan pada tahun 2023); hasil komoditi tanaman kontan meningkat 11.7 peratus (dari 79,518 metrik tan tahun 2022 ke 88,807 metrik tan tahun 2023); kadar sara diri negeri bagi beras berada pada paras 98 peratus (pengeluaran padi meningkat dari 269,790 metrik tan pada tahun 2022 ke 272,764 metrik tan pada tahun 2023). 

“Negeri Perak merupakan pengeluar utama negara bagi tanaman-tanaman jagung manis, ubi keledek, sengkuang, mangga dan bendi,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin lagi sektor ternakan berperanan penting membekalkan sumber makanan berasaskan protein dan Perak merupakan penyumbang utama sumber makanan berasaskan ternakan di negara ini, khususnya daging ayam dan telur. 

“Terdapat 315 ladang ayam pedaging dengan kapasiti maksimum 26,360 juta ekor ayam, menghasilkan 322,612 tan metrik ayam; jumlah pengeluaran yang melebihi keperluan 130,848 tan metrik dalam negeri Perak.

“Terdapat 21 ladang ayam penelur dengan kapasiti 11.3 (11,250,500) juta ekor ayam menghasilkan 2.1 bilion biji telur setahun, melebihi keperluan satu bilion biji setahun dalam negeri Perak.

“Industri ternakan lembu tenusu mengeluarkan 6,918 juta liter susu segar setahun berbanding keperluan 5,724 juta liter di negeri Perak dan pantai sepanjang 398 kilometer bersama 32 pulau di perairan negeri telah menghasilkan tiga ratus ribu tan metrik ikan yang didaratkan, meletakkan negeri Perak sebagai negeri pengeluaran ikan tertinggi di Malaysia,” titah baginda.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan