DUNIA

Afrika Selatan Bakal Adakan Pilihan Raya Umum Pada 29 Mei

21/02/2024 10:56 AM

JOHANNESBURG, 21 Feb (Bernama-Anadolu) -- Afrika Selatan dijangka mengadakan pilihan raya umum pada 29 Mei nanti yang bertepatan dengan sambutan 30 tahun kebebasan dan demokrasi negara itu, menurut pejabat presiden pada Selasa.

Dilaporkan bahawa Presiden Cyril Ramaphosa telah pun mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri yang berkaitan dan Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas untuk membincangkan mengenai perkara itu.

Afrika Selatan memperoleh kebebasan pada tahun 1994 selepas berakhirnya sistem apartheid.

Pilihan raya yang pertama diadakan pada tahun 1994, menyaksikan Nelson Mandela menjadi presiden kulit hitam pertama yang dipilih secara demokrasi.

Pada pilihan raya kali ini, Ramaphosa, 71, dari parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang memerintah sejak 1994 dijangka berdepan saingan sengit daripada pembangkang.

Pesaing utama ANC, termasuk Perikatan Demokratik, parti politik kedua terbesar di Parlimen dan parti Economic Freedom Fighters yang ketiga terbesar.

Menurut pakar, ANC turut akan berdepan saingan daripada parti Umkhonto We Sizwe yang baru ditubuhkan.

Parti itu mendapat sokongan bekas Presiden Jacob Zuma yang baru-baru ini mengumumkan tidak akan menyokong ANC.

Berdasarkan tinjauan pendapat oleh Yayasan Penyelidikan Sosial, Umkhonto We Sizwe mampu memperoleh sehingga 24 peratus undi di wilayah kelahiran Zuma iaitu di KwaZulu-Natal, wilayah kedua terpadat di Afrika Selatan.

-- AGENSI BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan