AM

Keb 2024 Platform Bumiputera Teroka Teknologi Digital, Perkukuh Industri Halal

20/02/2024 10:47 AM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) -- Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 29 Feb hingga 2 Mac ini merupakan platform tepat untuk bumiputera meneroka peluang ekonomi baharu khususnya teknologi digital dan memperkukuh lagi industri halal negara.

Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Mohammad Sahar Mat Din ketika ditemui Bernama berkata ekonomi berasaskan teknologi digital perlu diberi tumpuan oleh bumiputera kerana bidang ekonomi berkenaan berkembang baik ketika ini. 

“Kalau kita lihat hari ini, fokus atau bidang yang jadi tumpuan ataupun pasaran baharu adalah ekonomi berasaskan teknologi digital dan itu satu lonjakan baharu. Kalau kita lihat secara umumnya, statistik menunjukkan peningkatan 23 peratus ekonomi digital ini berkembang.

“Selain daripada itu, syarikat yang kuasai dunia pasaran sekarang adalah syarikat berasaskan teknologi macam Apple dan Amazon. Jadi, dalam konteks ekonomi Malaysia juga sama iaitu yang melonjak pantas adalah syarikat berasaskan teknologi,” katanya.

Pada 14 Feb lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penganjuran KEB 2024 akan menggali potensi teknologi dan peluang baharu bidang ekonomi bagi memperkasa bumiputera di negara ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata antara perkara yang akan turut dibincangkan di peringkat sekretariat kongres ialah memperkasa institusi dan agensi berkaitan ekonomi bumiputera yang wujud sejak KEB pertama pada 1965.

Sebanyak 10 kluster meliputi 10 sektor akan diwujudkan pada KEB 2024 iaitu Reformasi Pendidikan dan Modal Insan; Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional Pilihan Kerjaya Utama dan Pengukuhan Industri Halal.

Kluster lain ialah Pembangunan Desa dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli; Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat; Daya Saing Perusahaan Bumiputera; Penguasaan Teknologi Baharu; Felda dan Tanah Wilayah; Sosioekonomi Bumiputera Sabah serta Sosioekonomi Bumiputera Sarawak.

Sementara itu, Mohammad Sahar berkata pengenalan kluster pengukuhan industri halal dalam KEB 2024 disifatkan bertepatan dalam usaha memantapkan dan meningkatkan lagi penyertaan bumiputera dalam bidang itu.

“Kedudukan kita (bumiputera) belum ditahap membanggakan dan memuaskan, wajar kluster (industri halal) diberi penekanan supaya dalam tempoh ke hadapan ada peningkatan ketara dalam penyertaan bumiputera,” katanya. 

Beliau menegaskan Malaysia mesti diangkat dan dijadikan negara yang mengutamakan keusahawanan supaya lebih maju dan bumiputera juga perlu berani menyertai bidang perniagaan untuk membolehkan mereka bersaing dengan kumpulan lain.

Kongres selama tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) di sini menyasarkan penyertaan seramai 3,000 peserta dan akan disertai wakil dari dewan perniagaan Melayu, Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak serta wakil dari komuniti Orang Asli.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata penganjuran KEB 2024 itu bersifat lebih inklusif dan diharapkan mendapat kerjasama dan sokongan masyarakat Cina dan India bagi membantu menangani masalah kemiskinan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan