KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Airbus dan Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk bagi Malaysia Airlines Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam menjalankan kajian menyeluruh mengenai pelepasan karbon kumpulan syarikat penerbangan itu.
Airbus melalui satu kenyataan hari ini menjelaskan langkah penting itu menandakan permulaan satu perkongsian selama dua tahun antara kedua-dua entiti, khusus untuk meneroka pelbagai jalan penyahkarbonan dalam operasi MAG.
MoU antara Airbus serta MAG tersebut merangkumi lima bidang tumpuan utama iaitu bahan api penerbangan mampan (SAF); penyingkiran karbon dioksida (CDR); penilaian implikasi kewangan yang berkaitan dengan pengurangan CO2; unjuran dan perancangan senario serta usaha advokasi dan komunikasi bersama.
“Sebuah kumpulan kerja bersama, yang merangkumi wakil dari Airbus serta MAG, telah pun ditubuhkan dan telah terlibat dalam perbincangan yang meluas mengenai pelbagai aspek strategi penyahkarbonan yang disesuaikan dengan keperluan unik MAG,” kata syarikat aeroangkasa multinasional Eropah itu.
MoU itu dimeterai di Singapura oleh Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG, Philip See dan Ketua Pegawai Kelestarian Airbus, Julie Kitcher menjelang Pertunjukkan Udara Singapura yang akan diadakan pada 20-25 Feb di Pusat Pameran Changi.
See berkata kajian bersama Airbus akan mengukuhkan momentum MAG untuk menjadikan unit penerbangan itu lebih mampan.
“Kerjasama dengan Airbus ini adalah sebahagian daripada inisiatif itu, dan melalui kajian itu, MAG akan lebih tersedia untuk memenuhi tanggungjawab terhadap alam sekitar dan memperkasakan komuniti global yang dilayaninya,” katanya lagi.
Sementara itu, Kitcher berkata perjanjian itu bukan sahaja akan menyediakan asas yang sangat baik untuk hala tuju kelestarian MAG tetapi juga Malaysia dan rantau Asean yang lebih luas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial