AM

UTP RAIH KEJAYAAN KETIGA BERTURUT-TURUT ANUGERAH PUTRA BRAND AWARDS

07/02/2024 09:35 AM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) melakar sejarah sekali lagi apabila menerima Anugerah berprestij Putra Brand Awards, iaitu kemenangan ketiga berturut-turut dalam kategori Pendidikan dan Pembelajaran.

UTP dalam satu kenyataan memaklumkan pada tahun ini, universiti itu menerima anugerah gangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama cemerlang dalam landskap pendidikan Malaysia.

“UTP muncul sebagai pemenang tunggal dalam kalangan universiti yang terletak di luar Lembah Klang. Pencapaian ini membuktikan kepentingan strategi penjenamaan dan pemasaran yang direka dengan baik dalam mengangkat sesebuah jenama untuk menjadi tumpuan utama dalam kalangan pihak berkepentingan, tanpa mengira lokasi,” menurut kenyataan itu.

UTP berkata kemenangan berturut-turut di Putra Brand Awards adalah bukti kehadiran jenama UTP yang kukuh, komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan akademik dan sumbangan pentingnya kepada sektor pendidikan negara.

“Ia membuktikan dedikasi UTP terhadap kecemerlangan dalam pendidikan dan peranannya dalam membentuk pemimpin global yang menyeluruh dalam sains, teknologi dan kejuruteraan untuk masa depan,” menurut kenyataan itu.

Universiti itu turut berharap dapat memanfaatkan kejayaan ini dan terus menyediakan wadah pengalaman dan perkhidmatan pelanggan terbaik dan sihat kepada pihak berkepentingan meliputi pelajar, ibu bapa dan rakan usaha sama.

Penganugerahan Putra Brand Awards itu diadakan pada 19 Jan di sebuah hotel di sini, merupakan acara tahunan yang mengiktiraf jenama pilihan yang berjaya membina hubungan dan uh dengan pengguna melalui strategi penjenamaan yang memberi impak di Malaysia.

Anugerah tersebut meraikan jenama yang telah berjaya membina hubungan dan perhubungan yang kukuh dengan pengguna melalui strategi penjenamaan yang berkesan.

Pemenang dipilih berdasarkan tinjauan melibatkan lebih 11,000 responden.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan