AM

MANUAL ETIKA KEWARTAWANAN BAKAL DILANCAR BULAN INI - FAHMI

06/02/2024 10:51 PM

PUTRAJAYA, 6 Feb (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Jabatan Penerangan akan melancarkan manual etika kewartawanan bulan ini yang bakal memberikan penegasan kepada beberapa aspek termasuk pengesahan sesuatu berita.

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata pihaknya telah bertemu dengan wakil Jabatan Penerangan semalam dan sudah melakukan sedikit penyelarasan.

"Kita jangkakan selepas Tahun Baharu Cina, kita akan mencari tarikh yang sesuai untuk melancarkan manual tersebut," katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bil.2/2024 di sini hari ini.

Beliau berkata manual itu akan memberi penegasan kepada aspek tertentu termasuk pengesahan sesuatu berita dan beberapa fungsi lain.

"Insya-Allah, dekat dengan tarikh itu dan setelah selesai sedikit lagi penelitian, kita boleh kongsi lebih banyak isi kandungannya," kata beliau.

Ditanya mengenai perkembangan pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dalam kalangan warga Kementerian Komunikasi, Fahmi berkata penglibatan yang ditunjukkan amat menggalakkan dan semakin positif berbanding sebelum ini. 

"Bagi sesetengah penjawat awam, mungkin mereka merupakan ketua isi rumah dan proses mendaftar anggota keluarga juga sebahagian daripada proses itu (yang akan mengambil masa) tetapi langkah pertama ialah pendaftaran," katanya.

Pada 2 Jan lepas, kerajaan melancarkan PADU iaitu pangkalan data utama negara yang selamat dan komprehensif ke arah digitalisasi dan penghasilan analitik yang tepat. 

Semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas digalakkan mendaftar dan mengemas kini maklumat ke dalam sistem itu.

Ini bagi memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial melalui sistem PADU.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.padu.gov.my. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan