KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Pusat Kanser Sunway yang terletak di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, menerajui kaedah dalam menangani cabaran rawatan kanser, berusaha menawarkan kemungkinan hasil terbaik kepada pesakit yang menghidap barah.
Menawarkan teknologi terkini yang disesuaikan untuk pelbagai jenis kanser, Pusat Kanser Sunway berhasrat menjadi kemudahan sehenti yang komprehensif untuk diagnosis, rawatan, penjagaan berterusan dan rehabilitasi bagi individu yang menghidap kanser, di bawah satu bumbung.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Seow Vei Ken berkata pusat berkenaan ialah satu daripada 28 pusat kecemerlangan pusat perubatan itu yang menonjol sebagai hab inovasi.
“Kami berbangga dengan kewujudan Pusat Kanser Sunway, bukti komitmen kami untuk mentakrifkan semula kecemerlangan penjagaan kesihatan.
“Visi kami adalah untuk menyediakan penjagaan pesakit yang holistik, memastikan hasil optimum melalui rawatan, teknologi dan perkhidmatan sokongan terkini,” katanya pada sesi pengenalan media di Pusat Kanser Sunway di sini baru-baru ini.
Antara teknologi yang terdapat di pusat berkenaan ialah Varian TrueBeam dan Leksell Gamma Knife Icon untuk rawatan dan penjagaan kanser yang tepat serta teknologi diagnostik seperti teknologi CT dos rendah, teknologi imbasan Digital Positron Emission Tomography/Computed Tomography (PET/CT), Profil Genomik Komprehensif (CGP) dan DNA Tumor Beredar (ctDNA).
Pengarah Klinikal (Perkhidmatan Onkologi) merangkap Pakar Perunding Klinikal Onkologi Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr John Low Seng Hooi yang menekankan keunikan pusat itu berkata: “Kelebihan tentang Pusat Kanser Sunway ialah kami berjaya mendapat ramai doktor berkualiti menyertai kami.
“Paling penting, kami dapat bekerjasama dan membantu pesakit. Pusat Kanser Sunway seperti pusat sehenti yang mewujudkan keselesaan dan keyakinan terhadap pesakit, menjadikan pusat berkenaan berbeza dengan yang lain,” katanya kepada Bernama selepas sesi itu.
Beliau juga melahirkan penghargaan atas kemajuan teknologi dan perubatan ketepatan, sambil menegaskan peranan mereka dalam menentukan rawatan kanser dan meningkatkan jangka hayat pemandiri kanser dengan ketara.
“Tidak diragukan lagi, teknologi telah mengubah sesuatu. Kami tidak pernah terfikir 20 tahun lepas bahawa kadar kelangsungan hidup dan jangka hayat pesakit kanser, serta kadar tindak balas rawatan, semuanya dapat dipertingkat dengan perubatan ketepatan,” katanya.
Dr Low berkata Pusat Perubatan Sunway bersedia untuk meneroka penyelidikan mengenai biologi kanser dan punca mutasi genetik, bertujuan memajukan metodologi rawatan kanser dan meminimumkan kesan sampingan terhadap pesakit.
“Hal ini kerana anda mencapai punca masalah, (ia) sangat mengujakan. Mungkin (rawatan kanser kini) hanya menyentuh permukaan, namun ada banyak lagi. Setiap bulan, kami mendapat lebih banyak data baharu dan perubahan, jadi ia memberi jaminan bahawa kanser mungkin dapat disembuhkan sepenuhkan (pada masa hadapan),” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Pusat Kanser Sunway Dr Heng Siew Ping menekankan komitmen pusat berkenaan dalam memastikan hasil yang positif buat pesakit kanser dan menyediakan sokongan psikologi pascadiagnosis untuk pesakit yang baru didiagnosis.
Beliau bekrata program Cancer Buddy dilancarkan pada Oktober 2022 yang membolehkan pemandiri kanser secara sukarela menyokong pesakit yang menjalani rawatan kanser.
“Kami melakukan yang terbaik untuk menggalakkan pemandiri atau pejuang kanser dalam memberikan sokongan kepada orang lain yang mungkin mempunyai rawatan dan diagnosis kanser yang serupa. Kami juga meminta ahli psikologi klinikal dalaman untuk memberi latihan kepada rakan kanser yang perlu kuat dari segi mental bagi memberikan sokongan moral berterusan kepada pesakit,” katanya.
Dr Heng turut berkongsi perancangan pusat berkenaan untuk menubuhkan Klinik Kaunseling Genetik bagi ujian dan kaunseling menyeluruh, serta Cancer Survivorship Clinic untuk sokongan selepas rawatan, tahun ini.
“Kami merancang untuk melancarkan klinik survival tahun ini, yang akan diketuai oleh pegawai perubatan kami kerana sesetengah pesakit yang telah selesai menjalani rawatan bimbang tentang kanser berulang.
“Ada juga yang mengalami kesan sampingan jangka panjang, yang memakan masa, jadi kami memerlukan penjagaan pelbagai disiplin dan kerjasama untuk menyokong keperluan pesakit,” katanya.
Dr Heng berkata klinik survival itu akan membantu pakar onkologi dalam memantau pengulangan dan menguruskan kesan sampingan, selain rancangan penubuhan Klinik Kaunseling Genetik untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan anak-anak atau adik-beradik pesakit mengenai risiko kanser.
Maklumat lanjut mengenai Pusat Kanser Sunway, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway dan inisiatif, layari laman web rasmi Pusat Kanser Sunway.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial