AM

TEPUNG SUJI KUIH TRADISIONAL YANG SEMAKIN DILUPAKAN

04/02/2024 07:41 PM

KUANTAN, 4 Feb (Bernama) -- Kuih tradisional yang dikenali sebagai tepung suji dalam kalangan penduduk di daerah Pekan, Pahang semenangnya begitu sinonim dengan keharuman aroma daun pandan dan keenakan rasanya yang manis berlemak.

Namun dek kerana proses penyediaannya dianggap memakan masa dan memerlukan teknik tertentu, kuih tradisional berwarna hijau yang sering menjadi pencuci mulut dalam majlis perkahwinan suatu ketika dahulu semakin dilupakan serta kurang dikenali oleh generasi kini.

Justeru, bagi memastikan tepung suji tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas dua anak jati Pekan mengambil inisiatif untuk mengetengahkan kuih tradisional itu kepada masyarakat antaranya dengan menyertai pertandingan masakan dan mengambil tempahan.

Berkongsi cerita, Siti Baizura Shk Husin, 49, berkata dia dan rakannya, Noor Farahida Ifdal, 34, secara kebetulan memiliki resipi sama yang disimpan oleh ibu mereka.

"Kuih ini kalau cari resipi di laman sosial pun agak kurang dijumpai, memang ramai yang tidak tahu dan tidak cuba buat tetapi kami minat untuk mencuba resipi ini dan bila ada orang yang tahu kami boleh buat, mereka tempah.

"Noor Farahida akan masak tepung suji dan saya akan menghias atau membentuk kuih itu supaya tampil lebih menarik," katanya kepada Bernama di Karnival Rakyat Pahang di sini hari ini yang menyaksikan mereka memenangi tempat kedua Pertandingan Penyediaan Pencuci Mulut.  

Siti Baizura juga berkata ketika tepung suji dipamer pada pertandingan itu, ramai yang mengajukan pertanyaan dan ini secara tidak langsung dapat membantu mereka mengenali kuih tradisional tersebut.

Noor Farahida pula berkata penyediaan kuih tradisional itu menggunakan lima bahan iaitu tepung suji, gula pasir, telur ayam, santan dan daun pandan selain teknik yang betul serta kesabaran.

"Bahan seperti gula, telur, santan serta air pandan saya mesin dahulu kemudian saya masukkan tepung suji sedikit demi sedikit dan masak dengan api sederhana, bahan-bahan ini perlu sentiasa dikacau supaya ia tidak berketul-ketul dan adakalanya mengambil masa hingga setengah jam.

"Kesemua bahan yang digunakan mesti segar, santan tidak boleh guna yang kotak dan mesti gunakan daun pandan bukannya pewarna untuk membuatkan ia tahan lama... ramai orang yang saya kongsi resipi tetapi tidak jadi kerana mereka tidak ikut betul-betul cara dan bahan yang digunakan," katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata perempuan itu berkata tepung suji yang dijual pada harga RM70 sekilogram sesuai dijadikan hantaran serta cenderahati untuk pelbagai majlis dan acara.  

"Zaman dahulu, tepung suji dipunjut dan dilekatkan bersama bunga telur tetapi sekarang kami dah inovasikan ia menjadi pelbagai bentuk mengikut kesesuaian dan permintaan pelanggan. Kami berharap tepung suji akan lebih dikenali selepas ini dan menjadi pilihan orang ramai sebagai kuih kegemaran," katanya.

-- BERNAMA  

  

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan