AM

Program Adopsi Komuniti Bawa Perubahan Positif Di Kiulu - Joniston

03/02/2024 08:06 PM

TUARAN, 3 Feb (Bernama) -- Program adopsi komuniti yang bertujuan memperkasa serta meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat luar bandar, telah membawa impak positif kepada tiga kampung di Kiulu di sini.

Diterajui oleh Yayasan RYTHM dengan kerjasama Good Shepherd Services, projek ini menekankan sokongan pendidikan dan pemerkasaan ekonomi yang mampan di Kampung Ratau, Kampung Lokub dan Kampung Talantang.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai menyatakan keyakinan beliau terhadap impak program itu semasa penutupan program berkenaan di Kampung Lokub yang terletak kira-kira 60 kilometer dari pekan Tuaran.

"Program ini menanamkan semangat kebanggaan serta daya tahan dalam komuniti kita, selain memperkasakan kampung kita untuk menjadi lebih berdikari. Ini merupakan peralihan ke arah masa depan yang lebih cerah untuk Kiulu.

"Sudah tentu kita mahu melihat peralihan ketara ini melalui dua elemen utama pendidikan dan pemerkasaan ekonomi mampan, yang akhirnya membuka jalan kepada kemajuan dan kemakmuran jangka panjang untuk penduduk luar bandar," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan yang dirasmikan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Qi Datuk Seri Vijay Eswaran.

Joniston berkata dalam aspek sokongan pendidikan, projek itu telah memberi manfaat kepada 80 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lokub dan menekankan komitmen untuk memupuk individu dalam komuniti dengan melibatkan golongan belia dan ibu sebagai guru tuisyen.

Beliau berkata program adopsi komuniti itu juga memacu inisiatif pemerkasaan ekonomi, khususnya dalam bidang ekopelancongan melalui bimbingan dan latihan kepada belia dari tiga kampung berkenaan untuk merancang serta melaksanakan pelan perniagaan bagi tempoh dua tahun.

“Saya berharap penduduk Kampung Ratau, Kampung Lokub, dan Kampung Talantang akan saling membantu dan melengkapi antara satu sama lain dari segi tenaga, idea dan sumber untuk bersama-sama mempromosikan produk ekopelancongan masing-masing.

“Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, saya akan sentiasa menyokong penuh inisiatif ekopelancongan di Kiulu kerana saya percaya kepentingan sektor pelancongan sebagai pemangkin ekonomi bagi negeri Sabah,” jelas Joniston.

Beliau turut memuji Yayasan RYTHM dan Good Shepherd Services kerana menekankan pembabitan wanita dalam bidang keusahawanan seperti mengusahakan kebun sayur di Kampung Ratau, kedai runcit di Kampung Talantang, dan perkhidmatan fotostat serta penjualan kuih-muih di Kampung Lokub.

Joniston juga menekankan usaha kerjasama kolektif  ketiga-tiga kampung  tersebut dalam membangunkan produk jenama 'Kiulu Kio' seperti sambal liposu dan kerepek batang pisang.

Beliau melahirkan harapan agar produk berkenaan mencapai pasaran tempatan dan dipromosikan secara global.

Yayasan RYTHM merupakan inisiatif impak sosial syarikat Kumpulan QI, sebuah konglomerat multinasional yang mempunyai kepentingan dalam pendidikan, pelancongan, perniagaan jualan langsung, pembangunan hartanah dan peruncitan.

Pengerusi Yayasan RYTHM Datin Seri Umayal Eswaran, Pengarah Ahli Lembaga Good Shepherd Services Datuk Petrus Gimbad, dan Pengarah Eksekutif Good Shepherd Services Dr Janie Liew turut hadir dalam majlis penutupan program adopsi komuniti tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan