SUKAN

SKUAD HOKI 5 SEBELAH KEBANGSAAN BAKAL TERIMA PERUNTUKAN - HANNAH

01/02/2024 12:12 AM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Khabar gembira menanti skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki dan wanita negara apabila Kementerian Belia dan Sukan bakal menyediakan peruntukan kepada mereka tidak lama lagi.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam hantaran di laman Facebook malam ini berkata buat masa ini, peruntukan kepada kedua-dua pasukan tidak dapat diberikan kerana Kejohanan Hoki 5s Piala Dunia 2024 yang disertai mereka di Muscat, Oman adalah pertandingan baharu.

Beliau berkata pada 2023, kerajaan telah memperuntuk RM5.63 juta bagi kegunaan pasukan hoki negara termasuk 20 pemain lelaki kebangsaan berjumlah RM2,084,618 manakala RM1,129,990 pula diberikan kepada 20 pemain skuad wanita kebangsaan.

Hannah berkata 20 pemain pelapis kebangsaan menerima RM1,315,783 manakala 36 pemain yang beraksi bagi pasukan hoki dewan pula menikmati peruntukan sebanyak RM1,105,749.

Skuad hoki 5s lelaki hanya selangkah daripada melakar sejarah membanggakan di Muscat apabila layak ke pentas final edisi sulung kejohanan itu menentang Belanda pada tengah malam ini.

Skuad bimbingan Wallace Tan itu layak ke perlawanan akhir selepas menumpaskan Poland 4-3 manakala Belanda menewaskan tuan rumah Oman 5-3 dalam satu lagi saingan peringkat sama.

Saingan wanita pula menyaksikan pasukan negara sekadar di tempat keenam apabila tewas 4-8 kepada Uruguay dalam aksi penentuan kedudukan kelima dan keenam, Sabtu lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan