AM

Lima Ahli Ipcc Boleh Mula Bertugas - Saifuddin Nasution

31/01/2024 10:09 PM

PUTRAJAYA, 31 Jan (Bernama)-- Lima ahli Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang dilantik sebelum ini sudah boleh memulakan tugas tanpa perlu menunggu pelantikan dua lagi ahli suruhanjaya itu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bercakap pada sidang media khas hari ini, beliau berkata pihaknya masih dalam proses mencari calon yang sesuai bagi mengisi dua kekosongan itu.

"Bila tiba masa yang sesuai,  kita akan umumkan nama… (sekarang) kita masih menjalankan proses pencarian. Jadi lima yang ada sudah boleh memulakan tugas dan tiba masanya, kita akan lengkapkan kuota pelantikan," katanya sambil menambah beliau telah menerima nama beberapa calon yang sedang diteliti oleh pihak sekretariat.

Saifuddin Nasution sebelum ini mengumumkan Datuk Zolkopli Dahalan dilantik sebagai Pengerusi IPCC manakala Datuk Mohamad Jazamuddin Hail Ahmad Nawawi sebagai Timbalan Pengerusi suruhanjaya itu dan Martina@Kartina Zamhari, Datuk Shukri Abdullah serta Datuk Tan Kang Sai sebagai ahli-ahlinya.

IPCC adalah badan pemantau bebas terhadap Polis Diraja Malaysia dari aspek siasatan aduan salah laku yang membabitkan integriti pasukan keselamatan itu.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata isu berhubung permohonan pengampunan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya dibincang sepintas lalu dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. 

"Keputusan bukan di bawah bidang kuasa Kabinet tetapi Lembaga Pengampunan. Hanya dimaklumkan secara sepintas lalu," katanya.

Media antarabangsa Channel NewsAsia (CNA), yang memetik sumber termasuk pegawai kanan kerajaan, melaporkan bahawa Najib diberikan pengurangan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun atas pertuduhan rasuah oleh Lembaga Pengampunan selepas bermesyuarat pada Isnin lepas.

Selain itu, keputusan Lembaga Pengampunan menyaksikan pengurangan denda RM210 juta (US$44.4 juta) kepada jumlah yang tidak ditentukan, demikian menurut tiga sumber yang bercakap kepada CNA dengan syarat kerahsiaan ketat.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan