AM

Petugas Bernama Manfaat Peluang Daftar Padu Di Kaunter Fizikal

30/01/2024 11:46 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini memanfaatkan peluang membuat pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di kaunter fizikal yang dibuka bermula hari ini hingga esok.

Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Wilayah Persekutuan Siti Zakiah Muhamad Isa berkata pendaftaran secara fizikal itu dapat menyelesaikan masalah yang sering dihadapi pengguna semasa mengisi maklumat.

“Kaunter fizikal berkenaan memudahkan pegawai DOSM kami memberi khidmat bantuan bagi menyelesaikan masalah serta penerangan terperinci berkaitan sistem PADU.

“Sebelum ini isu yang saya nampak adalah banyak kepada pengesahan selepas pengisian itu dibuat, yang mengambil masa lama. Sebab itulah antara bantuan yang kita (DOSM) boleh berikan, kita minta mereka datang ke kaunter untuk pengesahan secara fizikal,” katanya ketika ditemui di Wisma Bernama di sini hari ini.

Siti Zakiah berkata petugas perlu membawa kad pengenalan masing-masing serta salinan kad pengenalan anggota isi rumah untuk membuat pendaftaran PADU dan turut menggalakkan orang ramai mendaftar dan mengemas kini PADU supaya tidak terlepas inisiatif yang diberikan kerajaan.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Korporat Bernama Mariati Mohd Arif berkata program itu memudahkannya serta petugas lain mendaftar terutama mereka yang tidak mempunyai masa untuk berdaftar memandangkan hanya 10 minit masa diperuntukkan untuk mengisi semua maklumat.

“Sebelum ini kita dengar nak masuk dalam sistem ini sukar dan mungkin ramai orang teragak-agak nak buka sistem itu di komputer. Sebenarnya tidaklah sukar. Kena cuba masuk sistem itu dan bantuan diterima di sini sangatlah cepat,” katanya.

Berkongsi pendapat sama, pengarah studio Bernama TV Mohamed Syamsul Adlien Md Nazri berkata sesi pendaftaran fizikal itu bukan sahaja menjadi pemudah cara untuk mendaftar, tetapi juga membolehkan beliau mengetahui lebih jelas tentang matlamat PADU.

“Saya pernah cuba daftar dalam talian sebelum ini sebanyak lima kali tetapi tidak berjaya (membuat pengesahan). Jadi, bila buat macam ini senang dan cepat sahaja. Pegawai di sini pun turut menerangkan lebih lanjut kegunaan PADU.

“Dengan mendaftar PADU ini kita boleh sahkan maklumat profil kita yang terkini daripada agensi kerajaan lain serta bantu ahli keluarga kita untuk kemas kini identiti mereka supaya ia (identiti) tidak disalahgunakan oleh individu lain,” katanya.

Setakat 29 Jan 2024, jumlah rekod pengemaskinian maklumat individu adalah seramai 2.07 juta orang daripada 30.08 juta rekod individu dalam sistem PADU berdasarkan sumber data pentadbiran. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan