DOHA, 30 Jan (Bernama) -- Cabaran pasukan Asia Tenggara pada kempen Piala Asia 2023 hari ini berakhir, apabila Thailand ditunjukkan jalan keluar selepas tewas 1-2 kepada Uzbekistan, pada perlawanan pusingan 16 terbaik di Stadium Al Janoub di sini, hari ini.
Kemenangan itu membolehkan Uzbekistan yang dibimbing Srecko Katanec, layak ke peringkat suku akhir buat kali keempat dalam sejarah penyertaan mereka, sekali gus berpeluang mencipta sejarah mara buat julung kali ke pentas separuh akhir.
Pada pertembungan itu, Uzbekistan yang muncul naib juara Kumpulan B mendominasi permainan separuh masa pertama, yang menyaksikan Thailand lebih bermain secara bertahan dan sesekali melancarkan serangan menerusi gerakan balas pantas.
Oston Urunov terlepas peluang keemasan untuk meletakkan Uzbekistan di depan pada minit ke-18 apabila gerakan satu dua dengan Jaloliddin Masharipov, tidak berjaya disudahkan dengan baik selepas gagal merembat kemas bola di dalam kotak penalti.
Empat minit kemudian giliran Masharipov melakukan percubaan, namun rembatan dari luar kotak penalti ke arah penjuru kanan gawang, berjaya ditepis keluar Patiwat Khammai sebelum penjaga gol itu akhirnya ditewaskan menerusi tendangan dari jarak dekat Azizbek Turgunboev pada minit ke-37.
Jaringan itu menyaksikan gawang Thailand dibolosi buat kali pertama pada kempen kali ini.
Skuad Gajah Perang kendalian Ishii Masatada, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-58 menerusi pemain simpanan Supachok Sarachat, yang dengan yakin melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk menyudahkan gerakan cantik dan hantaran pendek, yang ‘mematikan’ pertahanan lawan.
Bagaimanapun, kedudukan 1-1 tidak bertahan lama apabila Uzbekistan kembali mendahului permainan selepas Abbosbek Fayzullaev, bijak memperdaya pertahanan Thailand sebelum melepaskan rembatan ke arah penjuru kiri gawang untuk menewaskan Patiwat buat kali kedua pada minit ke-65.
Skuad White Wolves dan Thailand masing-masing terus mengasak memburu gol, dengan menyaksikan Thailand hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan Elias Dolah yang sedikit melewati palang gol pada masa tambahan babak kedua.
Namun keputusan 2-1 kekal berpihak Uzbekistan sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil dari Malaysia Muhammad Nazmi Nasaruddin.
Di pentas suku akhir, Uzbekistan akan bertemu pasukan tuan rumah yang juga juara bertahan Qatar, Sabtu ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial