KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) mencatatkan untung bersih yang meningkat sebanyak 14.4 peratus kepada RM217.77 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 (TK2023), daripada RM190.37 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.
Hasil turut meningkat 1.5 peratus kepada RM285.99 juta berbanding RM281.89 juta pada tahun kewangan 2022, kata Axis-REIT dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi suku keempat 2023 (S4 TK2023), keuntungan bersihnya meningkat 84 peratus kepada RM110.23 juta manakala hasil naik 6.5 peratus kepada RM75.56 juta.
“Pertumbuhan pendapatan yang besar, selain daripada jumlah pendapatan amanah yang lebih tinggi, disokong oleh penilaian semula semua 62 hartanah pelaburan Axis-REIT, pada akhir Disember 2023.
"Penilaian semula itu menghasilkan lebihan RM81.3 juta dalam nilai saksama hartanah pelaburan," katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat pengurusan Axis-REIT, Axis REIT Managers Bhd telah mencadangkan untuk mengagihkan 99 peratus daripada pendapatan direalisasi yang tersedia untuk pengagihan yang dijana daripada operasi, dari tempoh 1 Okt, 2023 hingga 31 Dis, 2023 sebagai pengagihan pendapatan akhir 2023.
Agihan seunit (DPU) mencapai 2.40 sen dan jumlah DPU untuk TK2023 ialah 8.65 sen.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Leong Kit May berkata kumpulan itu akan dapat memperoleh sumbangan pendapatan daripada BRDC 2 yang baru siap, kemudahan pembuatan di Sendayan Techvalley Industrial Park, dan pasar raya besar di Temerloh mulai 2024 dan seterusnya.
“Ditambah dengan pencarian berterusan kami untuk kemudahan logistik Gred A dan kemudahan pembuatan untuk meningkatkan portfolio kami, kami optimis 2024 akan menjadi tahun yang lebih baik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial