KEPALA BATAS, 18 Jan (Bernama) -- Rangkaian Kedai Emas Anuar merancang untuk membuka sebanyak 30 buah cawangan baharu termasuk di Sabah dan Sarawak pada tahun ini dengan suntikan modal sebanyak RM87.5 juta.
Pengarah Urusan Kedai Emas Anuar Mohd Khurulanuar Mhamad Noor berkata ketika ini rangkaian kedai emas itu beroperasi di 22 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia.
"Dengan pengalaman (operasi) perniagaan Kumpulan Emas Anuar meliputi banyak negeri termasuk Perlis, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Putrajaya, Johor, dan Pulau Pinang, kami berharap dapat memenuhi permintaan pengguna tanpa mengira lokasi.
"Kami juga berharap tahun ini sasaran untuk membuka 30 buah Kedai Emas Anuar di seluruh negara termasuk masing-masing lima cawangan di Sabah dan Sarawak tercapai, memandangkan sebelum ini kita tidak beroperasi di dua negeri itu," kata Mohd Khurulanuar kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Koperasi Eksklusif Emas Anuar Berhad (KEMASA) oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang turut dihadiri isterinya, Toh Puan Khadijah Mohd Nor.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rosli Jaafar.
Mohd Khurulanuar dalam pada itu berkata pada tahun lepas hasil yang diperoleh daripada operasi 22 buah Kedai Emas Anuar berjumlah kira-kira RM500 juta.
Beliau berkata pihaknya juga merancang untuk membuka cawangan di Indonesia selepas selesai pembukaan 30 cawangan baharu di negara ini.
Ini berikutan permintaan yang baik rakyat negara itu terhadap Kedai Emas Anuar ketika mereka bercuti atau berada di negara ini.
Justeru itu katanya bagi menampung pengeluaran 52 buah Kedai Emas Anuar, pihaknya merancang membuka kilang emas berskala besar di Pulau Pinang dengan peruntukan sebanyak RM200 juta menjelang tahun hadapan.
Mengulas mengenai KEMASA, beliau berkata ia diwujudkan untuk mengembangkan kemakmuran yang dinikmati ahli Kumpulan Emas Anuar yang kini mempunyai hampir 400 keahlian.
Pihaknya juga merancang untuk membuka pajak gadai sendiri dan bank emas bagi kemudahan ahli KEMASA dan orang ramai, katanya.
Langkah itu katanya seiring dengan visi KEMASA untuk menjadi koperasi emas terulung di Malaysia dan bekerjasama dengan koperasi-koperasi lain bagi meningkatkan taraf ekonomi ahlinya.
-- BERNAMAT
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial