KUANTAN, 17 Jan (Bernama) -- E&P O&M Services Sdn Bhd (EPOMS) komited dalam meningkatkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi penyediaan tenaga kerja industri minyak dan gas yang berpengetahuan dan berkemahiran di negara ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Zulkarnain Ismail.
Beliau berkata bagi tujuan itu, EPOMS bekerjasama dengan Pahang Skills dan Pusat Pendidikan Lanjutan dan Profesional Universiti Teknologi PETRONAS (CAPE) bagi pelaksanaan program minyak dan gas untuk tenaga kerja industri berkenaan.
Zulkarnain berkata usaha itu merupakan langkah proaktif bagi menawarkan program yang dirancang khusus untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bakal graduan dalam industri minyak dan gas serta memastikan mereka memenuhi piawaian industri.
“Program yang kami mulakan ini bukan sekadar perjanjian di atas kertas, ini adalah komitmen untuk memupuk bakat, mendorong inovasi dan membina ekosistem yang berterusan bagi memajukan industri kita ke hadapan.
“Kerjasama antara Pahang Skills dan Universiti Teknologi PETRONAS akan mencipta sinergi yang merapatkan jurang antara akademik dan industri serta memastikan tenaga kerja kita dilengkapi kemahiran, pengetahuan dan daya saing serta penyesuaian yang diperlukan untuk berkembang dalam landskap yang sentiasa berubah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pengarah EPOMS Datuk Mohd Pathil Ahmad, Pengarah Eksekutif Pahang Skills Mohd Yusri Mohd Nor dan Naib Canselor Universiti Teknologi PETRONAS Profesor Datuk Ts. Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib di sini hari ini.
Majlis menandatangani MoU yang memfokuskan kepada pengembangan program pendidikan dan latihan serta kerjasama penyelidikan dan pembangunan itu disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sementara itu, Wan Rosdy ketika ditemui pemberita berkata usaha yang dilaksanakan itu amat baik dan dilihat dapat memberi manfaat kepada semua pihak terlibat.
“Pahang akan sentiasa bagi kerjasama yang baik, kami sedia bekerjasama dengan mana-mana syarikat yang mendatangkan manfaat khususnya kepada penduduk Pahang,” katanya.
Selain itu, EPOMS dalam kenyataan memaklumkan kerjasama itu juga bakal menyaksikan syarikat itu akan memimpin pembangunan modul latihan terkini, memastikan program yang merangkumi aspek pengetahuan teori dan aplikasi praktikal itu berjalan lancar.
Pahang Skills pula akan merangka program jangka pendek, sijil kecekapan profesional dan diploma manakala Universiti Teknologi PETRONAS melalui CAPE memainkan peranan penting dalam menyediakan bahan latihan elektronik untuk kursus tersebut.
Manfaat daripada program ini dilihat antara lain dapat meningkatkan kebolehpasaran peserta kerana ia menawarkan gabungan seimbang pembelajaran di dalam kelas dan latihan praktikal selain membekalkan graduan Sijil Kemahiran Malaysia dengan pengetahuan dan kemahiran asas dalam industri minyak dan gas, selari dengan keperluan industri serta kemajuan teknologi.
EPOMS yang ditubuhkan pada 2012, adalah penyedia perkhidmatan utama untuk operasi dan selenggaraan fasiliti persisir pantai yang merangkumi seluruh rangkaian industri minyak serta gas negara, iaitu daripada prapengeluaran hingga aktiviti pascapengeluaran.
Pahang Skills ditubuhkan pada 1994 merupakan badan berkanun kerajaan negeri Pahang antara lain berperanan menawarkan latihan berteraskan kemahiran dan teknologi manakala CAPE yang ditubuhkan pada 2016 pula menyediakan program dan modul kursus pendek profesional.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial