AM

LITAR LATIHAN, UJIAN MEMANDU AKADEMI JPJ DIHARAP LAHIRKAN TENAGA PENGAJAR PROFESIONAL

15/01/2024 10:17 PM

MELAKA, 15 Jan (Bernama) -- Pembinaan Litar Latihan dan Ujian Memandu di Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka di sini diharap mampu melahirkan lebih ramai tenaga pengajar dan penguji pemanduan profesional dengan mutu latihan yang bertaraf antarabangsa.

Ketua Menteri Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata litar latihan dan ujian yang canggih serta moden bernilai RM2.5 juta itu, dibina di tapak seluas 2.02 hektar bermula 14 Dis 2021 dan siap sepenuhnya pada 12 Julai tahun lepas.

"Litar ini juga dilihat mampu muncul sebagai Pusat Kecemerlangan Pemandu Profesional pada masa akan datang dan membolehkan Melaka menjadi negeri yang membekalkan pelatih serta juru uji pemanduan kepada Institut Memandu di seluruh negara. 

"Saya berharap litar ini memberi manfaat dan impak yang optimum kepada semua pihak khususnya kepada JPJ sekali gus melahirkan pengguna jalan raya yang cekap dan berhemah dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian litar itu di Akademi JPJ Melaka Tiang Dua, Ayer Molek di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Rospiagos Taha.

Pada majlis itu Ab Rauf turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara JPJ dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi sambungan pelaksanaan program Diploma Eksekutif Pengurusan Pengangkutan dan Penguatkuasaan (DEPP) serta Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) bagi Pensijilan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan