AM

Rujuk Pendaftaran Pengislaman Individu Bawah 18 Tahun Kepada J/kuasa Khas Untuk Diperhalusi

13/01/2024 09:27 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Perkara berkaitan pendaftaran pengislaman bagi individu di bawah 18 tahun perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang (Jawatankuasa Khas) untuk diperhalusi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata ini sebagai antara kaedah sementara menunggu ia diangkat ke peringkat seterusnya dan supaya dapat diharmonikan dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Beliau berkata ketika ini, terdapat lapan negeri yang menghendaki keizinan hanya satu pihak sama ada ibu atau bapa bagi kemasukan Islam kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun iaitu Wilayah Persekutuan, Melaka, Sarawak, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Terengganu dan Perlis manakala Pulau Pinang, Sabah, Johor, Selangor dan Pahang pula menghendaki keizinan daripada kedua-dua ibu dan bapa.

Mohd Na’im berkata pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini yang mengekalkan status quo agama Islam tiga anak Loh Siew Hong yang ditukar secara unilateral oleh bekas suaminya, M.Nagahswaran.

“Saya percaya penghakiman itu dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan Yang Arif Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian terbaik bagi maslahat semua pihak sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bertenang dan tidak memberikan ulasan atau pandangan yang boleh mencetuskan suasana tidak sihat sehingga menjejaskan perpaduan serta keharmonian negara.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan