AM

Kpdn P.pinang Rampas Pakaian Berjenama Tiruan Bernilai Rm40,400

09/01/2024 10:42 PM

GEORGE TOWN, 9 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah dan menahan seorang lelaki bersama pelbagai pakaian  berjenama dipercayai tiruan bernilai RM40,400 di Desa Intan, Lebuhraya Thein Teik di sini hari ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa negeri A. Mogan berkata pihaknya menerima aduan daripada wakil syarikat Cap Dagang terdapat barangan mengunakan jenama tiruan sebelum pihaknya menjalankan risikan dan menyerbu rumah pangsapuri itu pada 3 petang hari ini.

Katanya semasa serbuan, terdapat seorang lelaki berusia 26 tahun dan rumah tiga bilik tersebut penuh dengan pelbagai barangan terutama pakaian berjenama terkenal yang dipercayai tiruan.

"Pemeriksaan lanjut dijalankan dan 5,050 helai pakaian pelbagai jenama terkenal dipercayai tiruan antaranya Nike, Puma,  Adidas dan Channel dirampas yang kesemuanya bernilai RM40,400.

"Hasil siasatan lelaki itu mengaku menyewa rumah tersebut RM500 sebulan dan menjadikan ia sebagai pusat penyimpanan, pusat pemasaran dan pusat transaksi jualan pakaian tersebut menerusi secara langsung di beberapa platform media sosial," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mogan, rumah itu dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan tersebut sejak 2022 dan suspek mampu mengaut sehingga RM1,000 bagi setiap sesi jualan langsung di platform media sosial dan suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sendirian.

Beliau berkata lelaki itu mendapatkan stok daripada pengesar tempatan di beberapa negeri terutama ibu kota dan jualan pakaian berjenama tersebut dipercayai untuk pasaran sempena Tahun Baharu Cina nanti.

Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah dibawah Seksyen 100 Akta yang sama.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan