DUNIA

KUAT KUASA UNDANG-UNDANG SENJATA DI AS: HAMPIR 300,000 NYAWA BOLEH DISELAMATKAN DALAM TEMPOH SEDEKAD

06/01/2024 07:58 PM

SACRAMENTO (Amerika Syarikat), 6 Jan (Bernama-Xinhua) -- Satu kajian baharu menunjukkan hampir 300,000 nyawa boleh diselamatkan dalam tempoh 10 tahun akan datang jika kesemua 50 negeri di Amerika Syarikat mengamalkan undang-undang kawalan senjata api seperti di California, lapor Xinhua.

Kajian yang dikeluarkan pada Jumaat oleh Everytown for Gun Safety, sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang berpangkalan di New York menyokong kawalan senjata, menilai pelaksanaan undang-undang senjata api di setiap negeri dan membuat perbandingan dengan kadar keganasan senjata api.

Laporan itu menyenaraikan California sebagai negara teratas dalam pelaksanaan undang-undang senjata api dengan skor 89.5 daripada 100 – tertinggi berbanding semua negeri.

Negeri itu juga mempunyai kadar kematian akibat senjata api yang rendah iaitu 8.7 bagi setiap 100,000 penduduk, walaupun ia merupakan negeri paling ramai penduduk.

Sebaliknya, Arkansas menduduki tempat terakhir kerana kelemahan pelaksanaan undang-undang senjata api dengan skor tiga daripada 100.

Negeri ini mempunyai kira-kira satu pertiga belas daripada penduduk California, tetapi kadar kematian akibat senjata api sekitar 22.1 bagi setiap 100,000 penduduk.

"Negeri yang melaksanakan undang-undang kukuh menyaksikan keganasan senjata api yang rendah," menurut laporan.

Walaupun 12 negeri telah menguatkuasa undang-undang senjata api mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini, 26 negeri lain telah membuat "keputusan berbahaya untuk memansuhkan keperluan permit membawa senjata," menurut laporan itu.

Para penyelidik menyenaraikan lima undang-undang asas yang telah terbukti paling berkesan mengurangkan keganasan senjata api dan semuanya dilaksanakan di California.

Undang-undang itu termasuk keperluan pemeriksaan latar belakang atau permit untuk membeli senjata api; permit untuk membawa senjata di khalayak ramai; penyimpanan senjata api yang selamat; penolakan undang-undang "Stand Your Ground"; dan penggubalan undang-undang "risiko melampau" dengan tidak membenarkan akses senjata api apabila terdapat bukti ia menimbulkan risiko serius kepada diri sendiri atau orang lain buat sementara waktu.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan