AM

MELAKA PATEN JAMBU MELAKA SEBAGAI IKON PRODUK BUAH-BUAHAN

06/01/2024 07:56 PM

MELAKA, 6 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri akan mempatenkan buah jambu yang menjadi ‘signature’ negeri ini iaitu jambu batu lohan atau lebih dikenali jambu melaka sebagai ikon produk buah-buahan dalam tempoh terdekat.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata jambu berkenaan dipilih memandangkan ia semakin popular dalam kalangan penggemar buah-buahan segar di negeri ini dan luar Melaka.

Beliau berkata jambu batu lohan bukan sahaja bersaiz gergasi tetapi kerangupan, manis dan kandungan airnya yang tinggi memberi nilai tambah kepada jambu itu yang dijangka menjadi antara produk pilihan pelancong sepanjang penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Jambu melaka yang akan dipatenkan ini adalah khusus yang ditanam dan diusahakan di Pulau Gadong kerana rasanya berbeza dari tempat lain, ini mungkin disebabkan faktor tanah di kawasan itu.

“Setakat ini, hanya empat atau lima pekebun mengusahakan jambu ini secara serius dan ramai yang menanamnya secara kecil-kecilan di sekitar Pulau Gadong,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pelancaran Voluntourism - Melaka Nature Epic Challenge sempena TMM2024 di Pulau Undan di sini hari ini. 

Menurut Muhamad Akmal pelancaran jambu melaka sebagai ikon buah di negeri ini dijangka pada Jun depan sempena bulan pertanian untuk TMM2024.

“Kita juga akan mengadakan pelbagai program termasuk agrofest dan lebih istimewa pesta durian yang terbesar di Asia Tenggara,” katanya. 

Terdahulu, sebanyak 50 sukarelawan yang terdiri daripada Persatuan EcoDistrict, badan bukan kerajaan (NGO), Kelab Dive Bomba Putrajaya dan Pengakap Kelana Melaka bersama-sama Jabatan Perikanan Melaka dan Taman Laut Melaka melakukan pembersihan pantai dan pembersihan pukat hantu di Pulau Nangka serta Undan. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan