TOKYO, 4 Jan (Bernama-Xinhua) -- Korban akibat gempa bumi di Ishikawa Jepun meningkat kepada 78 orang setakat pagi Khamis, selepas beberapa siri gempa bumi mencecah sehingga 7.6 pada skala Richter melanda wilayah itu dan kawasan sekitarnya, lapor Xinhua.
Menurut pihak berkuasa tempatan, bandar Wajima paling teruk terjejas dengan 44 kematian direkodkan.
Dalam satu siri gegaran susulan pada Khamis hampir 95,000 keluarga mengalami gangguan bekalan air di beberapa bahagian Ishikawa akibat kerosakan paip air.
Operasi mencari dan menyelamat berdepan cabaran kesan daripada runtuhan.
Gempa bumi yang berlaku tiga hari lepas itu turut mencetuskan amaran tsunami.
Kementerian Tanah menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 100 hektar kawasan di Ishikawa terjejas akibat tsunami.
"Lebih 40 jam telah berlalu sejak bencana itu. Saya rasa kita berada pada saat genting...terpaksa berlumba dengan masa. Kami telah menerima laporan bahawa ramai orang yang terperangkap di bawah bangunan yang runtuh masih menunggu untuk diselamatkan," kata Perdana Menteri Fumio Kishida di sidang akhbar pada Rabu.
Agensi Meteorologi Jepun secara rasmi menamakan bencana itu sebagai “Gempa Bumi Semenanjung Noto 2024”.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial