AM

Wan Junaidi Adakan Kunjungan Hormat Ke Atas Speaker Parlimen Uganda Sempena Cspoc

03/01/2024 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengadakan kunjungan hormat ke atas Speaker Parlimen Uganda Anita Ammet Among hari ini, sempena penyertaan beliau ke persidangan kali ke-27 Conference of Speakers and Presiding Officers of The Commonwealth (CSPOC) di Kampala, Uganda, yang berlangsung hingga 6 Jan ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara hari ini, pada kunjungan hormat tersebut kedua-dua pihak membincangkan perkara yang menjadi perhatian dan kebimbangan bersama seperti isu perubahan iklim, gender, penglibatan wanita dalam politik, jurang pembangunan dan keterangkuman.

“Selain itu, kedua-dua pihak turut berbincang tentang kerjasama yang boleh dijalankan di antara Parlimen Malaysia dan Uganda, untuk menjadi pengantara dalam meneroka potensi perdagangan, perniagaan dan inovasi bagi kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan ini merupakan pertama kali Wan Junaidi membuat kunjungan hormat tersebut sejak menjadi Yang Dipertua Dewan Negara tahun lepas, yang turut disertai Setiausaha Dewan Negara Muhd Sujairi Abdullah.

Persidangan ini diharapkan akan memanfaatkan semua ahli-ahli negara peserta persidangan, selain terus memupuk hubungan diplomatik dan kerjasama antarabangsa antara Malaysia dan Uganda, serta mengetengahkan kepentingan Komanwel sebagai platform untuk memupuk pemahaman dan kerjasama di kalangan negara-negara ahli.

Maklumat lanjut mengenai persidangan itu dipaparkan di laman web www.cspoc.org.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan