AM

KEPIMPINAN NEGARA KONSISTEN DALAM ISU PALESTIN - KETUA WANITA AMANAH

31/12/2023 12:12 AM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Kepimpinan negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim konsisten dalam isu perjuangan rakyat Palestin dan mengutuk kekejaman rejim Israel.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara Datuk Aiman Athirah Sabu berkata antara tindakan yang diambil oleh Malaysia sebagai menyokong perjuangan rakyat Palestin ialah melarang syarikat perkapalan berpangkalan di Israel ZIM daripada memasuki mana-mana pelabuhan negara dan menyuarakan isu itu di hadapan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada sidang akhir Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di San Francisco baru-baru ini.

"Saya yakin dan percaya kepimpinan negara sedang mengatur selia kuasa negara-negara Islam untuk memainkan peranan masing-masing secara keras selain membawa masuk bantuan ke bumi Gaza.

"Tindakan keras mesti diambil dan ditunjukkan kepada Israel serta Amerika Syarikat," kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan itu kepada Bernama pada piket 'Kepung Demi Palestin' di sini hari ini.

Tinjauan Bernama pada hari kelima piket itu mendapati lapan khemah didirikan di kawasan terbabit dan pelbagai aktiviti diadakan termasuk pameran kebudayaan, bacaan sajak serta ceramah berkaitan isu Israel-Palestin.

Piket enam hari bermula 26 Dis lepas itu adalah inisiatif warga Malaysia yang prihatin dengan krisis di Gaza selain sebagai tanda kecintaan kepada keamanan.

Piket membabitkan 48 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merangkumi organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik daripada pelbagai spektrum itu dianjurkan sebagai simbolik pengepungan ke atas Gaza selain menuntut agar pembunuhan rakyat Palestin dihentikan di samping mendesak gencatan senjata dilaksanakan segera.

Antara NGO yang mengambil bahagian ialah Majlis Perundingan Islam Malaysia, Sejagat, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Al Quds Malaysia, Suara Rakyat Malaysia serta Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin.

Menurut laporan media antarabangsa, sekurang-kurangnya 20,000 penduduk Palestin termasuk kanak-kanak terbunuh sejak tercetusnya konflik Israel-Palestin di Gaza pada 7 Okt lepas hingga kini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan