KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Keuntungan bersih Kim Loong Resources Bhd meningkat 31 peratus kepada RM47.97 juta pada suku ketiga berakhir 31 Okt 2023 daripada RM36.74 juta pada tahun sebelumnya di tengah-tengah hasil lebih tinggi daripada operasi perladangan dan pengilangan minyak sawit.
Hasil pada suku berkenaan menokok kepada RM448.68 juta daripada RM402.41 juta sebelum ini terutamanya berikutan pengeluaran tandan buah segar (FFB) yang meningkat 10 peratus walaupun penurunan 6.0 peratus bagi purata harga jualan FFB bagi suku itu,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagaimanapun, untuk tempoh kewangan sembilan bulan, keuntungan bersih merosot kepada RM122.84 juta berbanding RM125.64 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya manakala hasil turun kepada RM1.16 bilion daripada RM1.48 bilion sebelum ini.
“Kemerosotan prestasi bagi tahun kewangan semasa setakat ini berlaku terutamanya disebabkan penurunan yang mendadak bagi harga jualan purata FFB dan minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 27 peratus.
“Bagaimanapun, pengeluaran FFB bagi tahun semasa setakat ini menokok 19 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, manakala pengeluaran MSM adalah lebih rendah,” katanya.
Menurut Kim Loong, kumpulan telah melaksanakan langkah penanaman semula seluas 335 hektar setakat ini.
Sehingga 31 Okt 2023, jumlah kawasan tanaman bagi kumpulan itu yang tidak termasuk tanah untuk infrastruktur, tanah tidak boleh ditanam dan kawasan dalam pembangunan berjumlah 15,829 hektar.
Lembaga pengarah turut mengumumkan dividen khas sebanyak tiga sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Jan 2024 kepada lapan sen (tahun kewangan 2023:10 sen).
Pada masa depan, Kim Loong berkata kumpulan menjangkakan prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan 2024.
Menurutnya pengeluaran FFB bagi tahun kewangan semasa diramalkan meningkat 15 peratus berbanding kuantiti yang diraih pada tahun kewangan 2023 berikutan lebih banyak kawasan penanaman semula yang semakin matang dan profil umur lebih baik bagi kawasan produktif sawit muda.
Bagi operasi pengilangan minyak sawit, pihak pengurusan mengunjurkan untuk mencapai jumlah pemprosesan daya pemprosesan sebanyak 1.5 juta tan FFB bagi tahun kewangan semasa.
Ia juga menjangkakan loji biogasnya di Telupid, Sabah, yang memulakan bekalan kuasa kepada grid pada bulan ini akan menyumbang secara positif kepada hasil serta keuntungan bermula tahun kewangan 2025 dan seterusnya.
“Dari segi prospek harga MSM, walaupun pergerakan harga MSM tidak menentu baru-baru ini, pengurusan berharap harga purata MSM untuk tahun kewangan 2024 kekal melebihi RM3,800 setiap tan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial