AM

JUMLAH MANGSA BANJIR DI KELANTAN, SELANGOR MENURUN, TERENGGANU DAN PERAK KEKAL

19/12/2023 10:15 AM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan dan Selangor menurun pagi ini manakala di Terengganu dan Perak kekal.

Di KELANTAN, jumlahnya turut kepada 5,087 orang daripada 1,592 keluarga setakat 9 pagi ini, berbanding 5,164 orang daripada 1,621 keluarga direkodkan malam tadi, dan ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan jajahan Pasir Mas.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 14 PPS itu terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, SK Sri Rantau Panjang (2), SK Gual To’Deh, SK Gual Sitok, Masjid Lubok Gong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok.

Selain itu, SMK Baroh Pial, SK Kedai Tanjong, SK Gual Periok, Madrasah Tasek Bakong, Masjid Mukim Padang Licin, SK Sri Kiambang, SMA (Agama) Pohon Buluh dan SK Lati.

Di SELANGOR, menurut Info Bencana JKM, jumlah mangsa banjir menurun kepada 14 orang daripada lima keluarga pagi ini berbanding 15 orang daripada lima keluarga malam semalam, yang ditempatkan di PPS SK Sultan Abdul Aziz Shah di Kuala Selangor yang mula dibuka sejak semalam.

Laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan setakat 8.30 pagi ini, aras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat melebihi tahap waspada dengan bacaan 3.3m, tetapi dalam keadaan trend menurun.

Jumlah mangsa di TERENGGANU pula kekal dengan 158 mangsa daripada 16 keluarga masih ditempatkan di empat PPS di tiga daerah iaitu Dungun, Setiu dan Marang.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), di Dungun 42 mangsa daripada sembilan keluarga masih berlindung di PPS Kampung Pelandang manakala di Setiu, hanya dua mangsa daripada satu keluarga ditempatkan di PPS Surau Kampung Nyatoh.

Sementara di Marang, 114 mangsa daripada enam keluarga berlindung di PPS SMK Merchang dan SK Pengkalan Berangan.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan kekal 65 orang daripada 18 keluarga setakat 8 pagi ini, sama seperti dmalam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak memaklumkan kawasan terjejas banjir kekal melibatkan daerah Hilir Perak membabitkan kawasan Batu 9, Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Lorong Sidang Osman, Batu 7, Batu 8, Lorong Imam Khairi dan Lorong Mesra.

Sekretariat itu turut memaklumkan paras air di Sungai Bidor, Changkat Jong mencatatkan bacaan bahaya 3.72 meter ketika ini dengan cuaca di daerah Hilir Perak diramalkan hujan pada petang dan malam nanti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan