SUKAN

Pencapaian Dilakar Arena Sukan Negara Kurang 'gah' Pada 2023

18/12/2023 10:53 AM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Musim 2023 yang bakal melabuhkan tirai menyaksikan pencapaian arena sukan tanah air sepanjang tahun ini, boleh dianggap sebagai kurang ‘gah’, selepas tidak banyak kejayaan membanggakan dilakar kontinjen mahupun atlet negara.

Lebih mengecewakan, tahun ini menyaksikan dunia sukan tanah air terpalit detik hitam, selepas kontinjen negara mempamerkan persembahan terburuk dalam sejarah Sukan SEA, apabila gagal menepati sasaran 40 pingat emas ditetapkan pada edisi 2023 berlangsung di Phnom Penh, Kemboja, pada Mei.

Malaysia hanya sekadar membawa pulang 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa, sekali gus menyaksikan mereka menutup episod di Kemboja dengan pencapaian amat mendukacitakan, sejak temasya sukan dwitahunan itu diperkenalkan pada 1959.

Imej sukan negara juga dianggap tercalar pada temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu, apabila kontinjen Malaysia yang menghuni tangga ketujuh menamatkan cabaran, antaranya di belakang Singapura, Filipina dan Kemboja.

Susulan prestasi hambar pada Sukan SEA 2023, kontinjen negara mengambil langkah drastik apabila buat julung kali sejak beberapa dekad, tidak mengumumkan sasaran pingat secara spesifik mengikut warna pingat pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China, September lalu.

Pendekatan ‘selamat’ digunakan kontinjen negara ternyata berjaya mengurangkan tekanan kepada atlet, apabila mereka menghasilkan pencapaian positif dengan meraih enam emas, lapan perak dan 18 gangsa atau keseluruhan 32 pingat, untuk mengatasi sasaran 27 pingat ditetapkan sebelum ini.

Bumi Hangzhou turut menjadi saksi kejayaan beberapa atlet, antaranya pemain skuasy wanita S. Sivasangari yang membolot emas berganda menerusi acara berpasukan dan perseorangan, serta atlet ekuestrian Qabil Ambak Muhamad Fathil, yang melakar sejarah memenangi emas pertama Malaysia dalam sukan itu melalui acara dressage individu.

Selain kejayaan emas, kontinjen negara boleh menarik nafas lega dengan pencapaian kem olahraga negara, apabila mereka berjaya meletakkan kembali Malaysia dalam kedudukan podium setelah kali terakhir melakukannya pada edisi 2006 di Doha, Qatar.

Dua jaguh trek yang ‘berguru’ di Amerika Syarikat Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy, mencuri tumpuan selepas menghadiahkan gangsa masing-masing dalam acara 100 meter (m) lelaki dan 400m wanita. Shereen turut menjadi watak penting membantu kuartet 4x100m wanita merangkul gangsa.

Sementara itu, prestasi sukan kedua popular negara iaitu badminton tidak begitu menyerlah termasuk sekadar mengekalkan pingat gangsa pada Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China, Mei lepas.

Pujian boleh diberikan kepada gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, biarpun gagal mempertahan gelaran juara dunia dimenangi tahun lepas, pasangan beregu lelaki nombor satu negara itu tetap menampilkan aksi konsisten berbanding wakil individu lain dengan mara ke separuh akhir enam kali, termasuk menamatkan penantian enam tahun meraih gelaran sulung di Terbuka Denmark 2023, Oktober lepas.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik terus dihantui badi pada Jelajah Dunia Akhir selepas mereka sekali lagi terkandas di peringkat kumpulan, manakala beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut menimpa nasib sama, pada kejohanan penutup musim di Hanghou, China.

Lee Zii Jia pula dibayangi prestasi ‘yo-yo’ selepas sekadar merangkul satu gelaran pada Terbuka Artik 2023, manakala tersingkir awal sebanyak 15 kali termasuk lapan kali pada pusingan pertama daripada keseluruhan 22 kejohanan individu disertainya, sepanjang 2023.

Pemain perseorangan lelaki profesional itu juga tidak terlepas daripada kontroversi, apabila membuat keputusan tidak bersama dalam program Road To Gold, yang merupakan inisiatif kerajaan dalam membutirkan kilauan pingat emas pertama pada temasya Sukan Olimpik.

Selepas kempunan beraksi pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 susulan menjalani menjalani pemulihan pembedahan jantung terbuka, nasib sekali lagi tidak menyebelahi jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang, apabila terpaksa pula melupakan saingan Sukan Asia Hangzhou 2022 pada saat akhir berikutan kemalangan sewaktu sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai.

Dalam pada itu, hayunan bertenaga pemain boling elit wanita negara Natasha Mohamed Roslan, berjaya menggegarkan Kejohanan Dunia di Kuwait, Oktober lepas sekali gus menamatkan penantian 12 tahun negara, untuk menjuarai acara individu wanita selepas Jacqueline Sijore pada edisi 2011 di Hong Kong.

Sukan boling padang juga tidak kurang hebatnya, apabila gandingan Aleena Ahmad Nawawi-Nur Ain Nabilah Tarmizi, mencipta sensasi menamatkan kemarau 15 tahun tanpa pingat emas buat Malaysia pada Kejohanan Boling Padang Wanita 2023 di Gold Coast, Australia, September lepas.

Memulakan tahun ini dengan menamatkan kempen Piala Dunia 2023 di tempat ke-13 selepas menewaskan Jepun 3-2 di Rourkela, India, ‘Speedy Tigers’ terus menempuh episod suram apabila gagal menunaikan hasrat memenangi emas Sukan Asia Hangzhou 2022, sekali gus gagal mengesahkan slot automatik ke Sukan Olimpik 2024, apabila muncul pasukan keenam terbaik selepas dibenam Pakistan 2-5 Oktober lepas.

Skuad ‘Young Tigers’ pula gagal memanfaatkan kelebihan sebagai hos Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023, dengan sekadar menamatkan kempen di tangga ke-12, selepas dikecewakan New Zealand 4-3 menerusi penentuan pukulan penalti susulan keputusan seri 2-2 pada waktu sebenar.

Bagi atlet para pula, kontinjen negara membuktikan kecemerlangan mereka dengan meraih 50 pingat emas, 38 perak dan 28 gangsa sekali gus melepasi sasaran 33 emas, 51 perak dan 58 gangsa pada Sukan Para ASEAN 2023 di Phnom Penh.

Barisan atlet ‘luar biasa’ tersebut terus tampil menyinar di bumi Hangzhou, apabila ‘lulus dengan cemerlang’ melepasi sasaran 35 pingat ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menerusi pulangan tujuh pingat emas, 15 perak dan 17 gangsa pada Sukan Para Asia 2022.

Dalam konteks individu pula, jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin boleh diangkat sebagai atlet paling berjaya tahun ini.

Ia susulan reputasinya sukar digugat mana-mana pencabarnya, dengan memecah rekod dunia miliknya sendiri bagi menjuarai kategori lelaki atas 72 kilogram (kg) pada Kejohanan Dunia Para Powerlifting di Dubai menerusi angkatan 231kg, untuk memadam catatan terdahulu, 230kg dilakar semasa Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 pada Jun 2021.

Dengan berbaki kurang setahun daripada berlangsungnya Sukan Olimpik 2024 di Paris, tumpuan peminat sukan pastinya terarah terhadap kemampuan kontinjen negara mencipta sejarah menggapai emas pertama pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Sementara, harapan pastinya terus disandarkan kepada barisan atlet ‘istimewa’ untuk meneruskan rentak cemerlang pada Sukan Paralimpik 2024, juga di bandar sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan