DUNIA

Anggota Parlimen Pembangkang Thailand Dihukum Penjara Kerana Hina Monarki

13/12/2023 10:12 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 13 Dis (Bernama) -- Seorang Ahli Parlimen pembangkang Thailand dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana menulis hantaran yang menghina monarki.

Mahkamah Jenayah Bangkok pada Rabu mendapati Ahli Parlimen Parti Move Forward (MFP) Rukchanok Srinork bersalah kerana menghina raja.

Ahli Parlimen berusia 29 tahun itu yang juga seorang aktivis didapati bersalah mengikut Seksyen 112 Kanun Jenayah dan Seksyen 14 (2) Akta Jenayah Komputer 2007.

Menurut kenyataan mahkamah, Rukchanok didapati bersalah atas dua hantarannya pada 2020 berkaitan monarki dan vaksin COVID-19 di platform media sosial Twitter yang kini dikenali sebagai X.

Beliau menafikan kesemua tuduhan.

Rukchanok dibenarkan diikat jamin 500,000 baht dengan syarat beliau tidak mengulangi kesalahan itu.

Menurut data Thai Lawyers for Human Rights (TLHR), sekurang-kurangnya 262 orang didakwa mengikut Seksyen 112 Kanun Jenayah sejak 2020 kerana menghina monarki.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan