AM

Timor-leste Harap Dapat Keahlian Penuh Dalam Asean Menjelang 2025

04/12/2023 10:56 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Timor-Leste berharap untuk mendapat keahlian penuh dalam Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) apabila Malaysia mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN pada 2025.

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi serta Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Timor-Leste Francisco Kalbuadi Lay berkata negara telah memohon untuk menyertai Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada 2016 dan pemuktamadan rundingan penyertaan dalam WTO dijangka pada Februari 2024.

“Kami berharap rundingan ini akan selesai supaya Timor-Leste dapat menyertai Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang dipengerusikan oleh Malaysia,” katanya kepada pemberita pada Friends of Timor-Leste-Malaysia Business Networking dan acara makan malam hari ini.

Beliau berkata Malaysia telah memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan pembinaan kapasiti Timor-Leste dalam pelbagai bidang.

“Timor-Leste kini sedang berusaha untuk mengembangkan dan mempelbagaikan ekonominya.

“Pada masa depan, menjadi sebahagian daripada Komuniti Ekonomi ASEAN dijangka menjana manfaat ekonomi dengan meluaskan perdagangan dalam barangan dan perkhidmatan, membolehkan pergerakan modal, menggalakkan pelaburan langsung asing dan pergerakan pekerja mahir dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN,” katanya.

Sementara itu, pada acara sama, Timor Lorosae Group Plt memeterai Memorandum Persefahaman dengan Hanimed Sdn Bhd untuk membangunkan hospital tertiary di Timor-Leste.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mariam Shafi berkata hospital tertiary itu akan memulakan pembinaannya pada pertengahan tahun depan.

“Jumlah pelaburan untuk hospital tersebut kira-kira US$50 juta (US$1=RM4.66),” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan