EKONOMI

Monaco, Malaysia Boleh Teroka Guna Minyak Sawit Biofuel Dalam Industri Kapal Layar

03/12/2023 10:15 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Monaco dan Malaysia harus meneroka peluang menggunakan minyak sawit biofuel dalam industri marin rekreasi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Prince Albert II of Monaco Foundation, Olivier Wenden.

Ia selaras dengan hala tuju alam sekitar, kemampanan dan tadbir urus global untuk mengurangkan dan menggantikan penggunaan bahan api fosil dengan pilihan hijau (mesra alam sekitar).

Monaco yang terletak di sepanjang French Riviera dikenali sebagai hab kapal layar dalam persekitaran industri yang semakin berkembang, ia menempatkan kedudukannya sebagai pemimpin menerusi beberapa inisiatif bertujuan untuk mengurangkan kesan alam sekitar disebabkan kapal layar.

Pada masa yang sama, wujud banyak perbincangan mengenai teknologi baharu dan bahan api hijau, seperti biobahan api berasaskan minyak sawit sebagai cara untuk menyahkarbonkan industri kapal layar mewah.

Penggunaan biofuel generasi kedua seperti minyak sayuran rawatan hidro (HVO) daripada efluen kilang minyak sawit boleh menjadi sangat menarik bagi dua pengeluar minyak sawit utama Malaysia dan Indonesia.

"Kami berminat untuk meneroka secara mendalam (mengenai biofuel minyak sawit) dalam campuran (bahan api) dan dalam biojisim," katanya ketika ditemui Bernama sempena lawatan negara pertama Putera Monaco Putera Albert II ke Malaysia.

Bagaimanapun, Wenden berkata pendekatan holistik diperlukan memandangkan isu iklim bergerak seiring dengan perkara berkaitan laut dan biodiversiti.

Malaysia telah mewujudkan dasar ke arah penanaman kelapa sawit mampan, antaranya had ditetapkan seluas 6.5 juta hektar di bawah penanaman kelapa sawit; ia komited untuk mengekalkan status quo (tiada perubahan dilakukan) dalam penggunaan tanah semasa.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu media baru-baru ini bahawa tiada lagi pembukaan tanah atau penebangan hutan baharu untuk ladang kelapa sawit.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia komited untuk bekerjasama dengan Monaco bagi memupuk perkongsian kukuh ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Tengku Zafrul berkata adalah penting bagi Malaysia dan Monaco untuk terus berinteraksi antara satu sama lain di semua peringkat terutamanya dalam mengembangkan prospek perniagaan serta mengurangkan dinamik geopolitik global dan memanfaatkan hubungan dua hala yang baik yang dipupuk di bawah kepimpinan dinamik kedua-dua negara.

The Prince Albert II foundation melancarkan ReOcean, sebuah dana ekuiti persendirian yang didedikasikan untuk hidupan bawah air, salah satu daripada 17 matlamat pembangunan mampan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Dana itu akan melabur dalam lima sektor yang secara kolektif membuka potensi menambah baik keadaan di laut: penyelesaian kepada pencemaran plastik; makanan laut yang sihat, regeneratif dan saksama; perkapalan dan kapal layar mesra alam sekitar; pemulihan dan perlindungan; dan data mengenai laut,” kat Welden.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan