KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Pelbagai acara dan pengalaman menyeronokkan menanti pengunjung Sunway Pyramid, dengan setiap sudut pusat beli-belah itu dihiasi hiasan menarik bersempena kempen ‘My Christmas Story’ yang berlangsung hingga 1 Jan tahun depan.
Sunway Pyramid dalam kenyataan hari ini memaklumkan setiap elemen hiasan daripada pokok Krismas hingga kepada bangku dan karakter yang diberi nama ‘Snowy the Snowman’, dibina selari dengan tema My Chirstmas Story.
“Kemuncak bagi kempen ini adalah ‘Snowy’s Winter Wonderland’, menampilkan ruang ‘bersalji’ bagi memberi pengalaman menyeronokkan...pengunjung yang masuk berpeluang mengambil gambar kenang-kenangan bersama Snowy dan gambar itu akan dicetak untuk diletakkan di tempat yang direka bentuk khas sebagai hiasan.
“Pengunjung yang berhasrat membuat Snowy versi mereka sendiri untuk dibawa pulang juga boleh berbuat demikian di gerai origami orang salji yang terletak di bahagian ruang legar. Turut terdapat gerai jenama penjagaan kulit Innisfree dan UOB yang boleh dilawati pengunjung,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan pada setiap hujung minggu, pihak pusat beli-belah tersebut juga akan membawakan pelbagai acara menarik dan menghiburkan kepada pengunjung, bermula seawal di pintu masuk Orange yang baru diubah suai dan siap tepat pada masa musim perayaan ini, dengan menampilkan pokok Krismas setinggi 9.14 meter berserta reben dan hiasan berkilauan.
“Dari petang Jumaat hingga Ahad termasuk pada Hari Krismas, pada sesi dipanggil ‘Joyful Snow Time’ pengunjung berpeluang merasai kehadiran ‘salji’ pada setiap 7, 8 dan 9 malam. Mereka hanya perlu bersedia dengan kamera untuk merakamkan detik menakjubkan itu sama ada sendirian atau bersama keluarga tercinta berada di tengah-tengah ‘emping salji’ yang turun dari siling,” menurut kenyataan itu.
Pada hari Sabtu terpilih pula terdapat persembahan Krismas dengan mereka yang hadir boleh menyanyi bersama lagu yang digemari, selain kemunculan Santa Claus pada hari Ahad terpilih bagi memberi lebih keceriaan kepada mereka yang berada di pusat beli-belah berkenaan.
Sementara itu, menurut kenyataan tersebut elemen kelestarian turut menjadi keutamaan apabila 30 peratus daripada hiasan untuk perayaan di seluruh Sunway Pyramid dan Sunway Malls menggunakan bahan-bahan kitar semula selain penggunaan semula bahan daripada kempen sebelum ini.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang mendapat ganjaran apabila membeli-belah di Sunway Pyramid semasa kempen ini termasuk menebus hadiah istimewa seperti peresap aroma, bekas kaca dan set bagasi, bergantung kepada jumlah dibelanjakan.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Sunway Pyramid Jason Chin berkata setiap tahun rakyat Malaysia meraikan pelbagai perayaan bersama-sama dan memupuk persaudaraan melaluinya.
“Kita bercerita dan mengenang kisah lama sambil bersama-sama mencipta cerita dan memori baharu. Justeru, pada Krismas ini Sunway Pyramid mengalu-alukan kehadiran pengunjung dengan penuh semangat bagi meraikan berakhirnya 2023 dan menyambut kedatangan 2024 dengan wajah baharu selepas kali terakhir pengubahsuaian besar-besaran pada 2015,” katanya
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial