AM

Kewujudan Ppkb Tingkat Kecekapan Pengurusan Bencana - Pakar

30/11/2023 09:50 AM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Cadangan pembinaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) mampu meningkatkan kecekapan pengurusan bencana supaya lebih sistematik dan berpusat berbanding sebelum ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Dr Zulkarnain Hassan berkata PPKB amat diperlukan terutama di kawasan yang kerap berlaku bencana seperti banjir.

“PPKB perlu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang kondusif berbanding pusat pemindahan sementara (PPS) apabila mangsa terpaksa berkongsi ruang dan kemudahan bersama pihak sekolah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Antara kemudahan dicadangkan seperti dewan penginapan, bilik air, ruang solat, tempat membasuh pakaian, tandas, dapur dan sudut makanan.

Berkongsi pandangan sama, Pensyarah Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Madya Dr Mohd Riduan Ahmad yang melihat cadangan itu praktikal untuk dilaksanakan susulan beberapa negeri sering dilanda banjir pada musim tengkujuh.

Bagaimanapun, beliau berkata beberapa perkara perlu diambil kira dalam pembinaan PPKB termasuk penggunaanya dipelbagaikan selain penyelenggaraan kemudahan kekal harus dilakukan secara konsisten selepas berakhir musim banjir.

“Pemilihan material jenis bangunan yang ingin dibina juga penting dan saya berpandangan penggunaan rumah pasang siap mungkin lebih praktikal,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM) Prof Dr Ahmad Ismail berkata PPKB perlu direka bentuk untuk pelbagai guna agar ia dapat dimanfaatkan sepanjang tahun.

“Kajian sebelum pembinaan PPKB perlu dilakukan untuk memastikan ia sesuai dengan keadaan dan keperluan agar ia bukan hanya berfungsi untuk memberi perlindungan kepada mangsa banjir, sebaliknya boleh diguna untuk tujuan lain berkaitan dengan alam sekitar,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar PPKB diwujudkan segera, dengan projek rintis dimulakan di sembilan negeri.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata PPKB itu melibatkan kos siling RM5 juta bagi setiap pusat dan bakal menjadi satu kemudahan perlindungan mangsa banjir yang lebih baik berbanding PPS selain boleh menjadi pusat aktiviti komuniti (di luar musim banjir).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan