AM

PRK KEMAMAN: NELAYAN HARAP ISU MUARA SUNGAI CETEK DISELESAIKAN

21/11/2023 10:54 AM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KEMAMAN, 21 Nov (Bernama) -- Nelayan di Pantai Tanjung Kemasik di sini berharap agar isu muara sungai yang cetek dapat diambil perhatian wakil rakyat yang akan dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Zuaimi Mat Ali, 59, berkata masalah yang telah berlanjutan hampir lima tahun itu telah mengakibatkan nelayan menghadapi kesukaran untuk ke laut dan membawa pulang hasil tangkapan.

“Apabila air surut, perahu tak boleh nak keluar. Kalau nak menambat perahu (apabila pulang dari laut), kena di hujung benteng. Jadi jauhlah nak bawa ikan-ikan (tangkapan).

“Kemudian kalau nak menambat di hujung benteng tak berani, takut nanti perahu tenggelam pecah terlanggar benteng,” katanya kepada Bernama di perkampungan nelayan di sini.

Menurut Zuami projek benteng pemecah ombak yang dilaksanakan kerajaan negeri bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah itu, malah lebih menambah kesukaran kepada nelayan apabila isu muara sungai yang cetek itu masih berlanjutan.

Seorang lagi nelayan, Zulkifli Abdul Ghani, 63, berkata masalah berkenaan sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan mereka lebih-lebih lagi turut terkesan dengan musim tengkujuh yang mula melanda daerah Kemaman.

“Nak ke laut tak boleh, ombak besar tetapi syukurlah kerajaan Persekutuan ada beri bantuan sara hidup kepada nelayan sebanyak RM300 sebulan,” katanya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu Mat Yassim Mohamed berkata pada masa ini terdapat lebih 500 nelayan yang aktif menangkap ikan di sepanjang perairan Kemaman terutama dari Teluk Kalong hingga ke Kuala Kemaman.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Parlimen Kemaman Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata beliau mengambil maklum masalah nelayan itu.

“Perkara begini kita perlu teliti terlebih dahulu fakta-fakta mengenainya, baru kita boleh mengeluarkan satu benda (penyelesaian) yang lebih baik,” katanya.

Raja Mohamed Affandi yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera berhadapan dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS dalam pertandingan satu lawan satu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov ini bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Dis bagi hari mengundi untuk PRK Kemaman yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU15.

Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan