KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Royal Pahang Durian Group (RPDG) hari ini memeterai empat perjanjian dengan rakan strategik bagi menerajui pasaran perniagaan-kepada-pengguna (B2C) duriannya ke China selain meningkatkan standard pertanian lestari di Malaysia.
Timbalan Pengerusi kumpulan, Datuk Albert Chang Si Fock berkata RPDG menjalin kerjasama dengan Chyau Fwu Land Holdings Co Ltd (CFLH) daripada Parkview Group bagi mewujudkan sebuah subsidiari operasi pengedaran dan peruncitan produk durian sejuk beku di China yang berpotensi lumayan, sekali gus merealisasikan visi model B2C yang disasarkan pihak terbabit.
“Adalah menjadi hasrat RPDG untuk mewujudkan rantaian bekalan yang konsisten, berkualiti dan dapat dioptimumkan bagi pasaran durian China.
"Berikutan itu, model perniagaan menyeluruh dengan memfokuskan B2C adalah diperlukan bagi kestabilan harga serta aspek kemampanannya," katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini, hari ini.
RPDG dan CFLH juga menandatangani perjanjian rangka kerja strategik bersama JD.com, antara platform peruncitan dan pemasaran dalam talian terbesar di China yang membolehkan produk durian RPDG ditawarkan kepada pengguna platform berkenaan.
Turut dimeterai adalah perjanjian strategik dengan SF Express, operator logistik dan penghantaran terbesar di China bagi memastikan penyerahan produk-produk berasaskan durian yang mantap dan sistematik di negara itu.
Malah, susulan daripada pemeteraian perjanjian komersial itu, RPDG menandatangani satu perjanjian penyelidikan bersama Universiti Malaya bagi meningkatkan pengeluaran hasil tanaman.
“Kami melihat kepada potensi nilai pasaran durian di China yang bakal mencecah RMB130 bilion (dianggarkan RM84.02 bilion) menjelang 2026.
“Pada masa sama, kami sedia maklum mengenai cabaran dan peluang daripada prospek menarik ini. Sehubungan itu, kami kekal komited terhadap pendekatan inklusif menerusi kerjasama dengan semua pihak terbabit dalam rantaian bekalan berkenaan demi melonjakkan reputasi durian Musang King keluaran Raub, Pahang, di pasaran China,” kata Chang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial