EKONOMI

Produk Biomicrogel Bmg-c4, Bmg-spo Akan Pertingkatkan Pengeluaran Minyak Sawit Di Malaysia

17/11/2023 10:39 AM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Biomicrogels Group (BMG) yang menghasilkan produk perahan minyak dipertingkatkan mengumumkan pelaksanaan dua produk baharu, Biomicrogel BMG-C4 dan BMG-SPO untuk digunakan di kilang minyak sawit seluruh negara.

BMG dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata produk ini membentuk penyelesaian tunggal yang mudah disepadukan ke dalam proses teknologi dan memberi kesan positif kepada pengekstrakan minyak dengan meningkatkan produktiviti dengan ketara, mengurangkan kerugian dan meningkatkan daya maju ekonomi.

“Produk boleh biodegradasi (boleh urai) ini mengukuhkan komitmen syarikat terhadap amalan lestari,” katanya.

Pengarah Pembangunan Perniagaan BMG Igor Temirov berkata produk berkenaan telah dibangunkan untuk mengoptimumkan proses pengekstrakan minyak sawit sedia ada yang secara relatifnya kekal tidak berubah sejak 50 tahun lepas.

“Produk kami berfungsi pada semua peringkat proses pengeluaran di kilang dengan meningkatkan pengekstrakan minyak sawit, mengurangkan masa pengekstrakan dan meminimumkan kerugian dan penggunaan air. Kilang sawit diunjurkan dapat menambah lebih daripada US$500,000 (US$1=RM4.66) setiap tahun kepada keuntungan operasi mereka,” katanya.

Menurut BMG, syarikat itu juga telah mengumpulkan tenaga pakar berkemahiran dalam bidang pengeluaran minyak sawit seperti menyediakan jurutera untuk perundingan.

“Sokongan ini meliputi semua peringkat kerjasama, mengumpul dan menganalisis data teknologi, kerja pemasangan dan pentauliahan, parameter pengoptimuman dan perkhidmatan selepas tamat tempoh waranti,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan