SUKAN

LEBIH YAKIN, ANGKUH, HAMPIR HUKUM HARIMAU MALAYA - PAN GON

17/11/2023 01:16 AM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Ketua jurulatih  skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon,menyifatkan faktor keyakinan berlebihan hampir menghukum Malaysia dalam perlawanan pembuka Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/2027 Piala Asia menentang Kyrgyzstan di sini, malam ini.

Jurulatih dari  Korea Selatan itu berkata keyakinan dalam setiap perlawanan diperlukan tetapi penting untuk menghormati lawan terutamanya apabila menentang pasukan yang ranking lebih tinggi.

Beliau berkata keadaan tersebut memaksa beliau mengingatkan anak buahnya semasa waktu rehat dan lega apabila pemainnya berjaya mengubah mentaliti mereka untuk mencipta kejayaan dramatik dan merekodkan kemenangan yang berharga.

"Saya suka keyakinan diri tetapi tidak sepatutnya berlebihan atau angkuh, kita mesti menghormati pasukan ranking ke-97, jadi bagi saya ia satu pengajaran yang baik bagi kita... jika kita rendah diri dan menghormati (lawan), saya fikir kita mempunyai kemampuan yang baik atau sebaliknya tidak layak ke pusingan seterusnya.

"Bagaimanapun, saya rasa pemain pada separuh masa kedua menunjukkan kepada saya semangat juang Malaysia...tidak pernah menyerah diri dalam apa jua situasi, belajar daripada kesilapan dan terus maju. Saya sangat bangga dengan mereka," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Dalam perlawanan malam ini, Malaysia mendahului 1-0 melalui jaringan Dion Cools sebelum tertinggal 1-3 setelah Kairat Zhyrgalbek, Ernst Batyrkanov dan Kai Merk masing-masing mencetak gol untuk pasukan 'The White Falcons'.

Bagaimanapun, skuad negara bangkit dengan penuh bergaya pada separuh masa kedua apabila mereka mencipta tiga gol masing-masing melalui jaringan sendiri oleh Khristiian Brauzman, Cools dan Mohamad Faisal Abdul Halim.

Sementara itu, jurulatih Kyrgyzstan, Stefan Tarkovic, cukup marah dengan kekalahan itu setelah pasukannya kehilangan fokus apabila mendahului 3-1.

“Sukar bagi saya, saya boleh katakan bahawa saya sangat marah dan kecewa dengan keputusan ini. Kami mencipta lebih banyak peluang daripada Malaysia tetapi kesilapan besar kami adalah di benteng pertahanan dan empat gol dibolosi.

“Kami menjaringkan tiga gol dan tidak mendapat sebarang mata di sini, jadi ini kecewa,” kata jurulatih berusia 50 tahun itu.

Beliau menuntut agar anak buahnya segera melupakan kekalahan malam ini apabila mereka bertemu Oman dalam perlawanan seterusnya, Isnin depan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan