AM

PEMANDU BAS KILANG DITAHAN DENGAN LESEN SUDAH 12 TAHUN TAMAT TEMPOH

14/11/2023 10:00 PM

NIBONG TEBAL, 14 Nov (Bernama) -- Seorang pemandu bas kilang ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan di jalan raya di sini hari ini dan didapati memandu dengan lesen yang sudah tamat tempoh sahnya 12 tahun lepas.

Pemandu berusia 48 tahun dari Karangan, Kedah itu antara yang ditahan menerusi Ops Patuh Bersepadu Kenderaan Perkhidmatan Awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang di Valdor, petang tadi.

Ketika ditahan, dia membawa 33 penumpang pekerja warga asing dalam perjalanan dari sebuah kilang di Batu Kawan menuju ke asrama pekerja terbabit di kawasan Valdor.

Lelaki itu mendakwa wangnya sudah habis membayar saman sebelum ini menyebabkan dia tidak memperbaharui lesen dan masih mempunyai lima lagi saman yang belum dijelaskan selain mendakwa hanya menjadi pemandu gantian dan dibayar RM30 sehari untuk satu perjalanan.

"Lesen saya sudah tamat tempoh sejak 2011...sebelum ini saya bawa lori tanah dan masih ada lima saman tertunggak yang belum dibayar. Saya sudah tak ada duit...ini pun ganti orang saja bawa bas tak sangka pula kena tahan," katanya.

Sementara itu Pengarah JPJ Pulau Pinang, Datuk Adenan Md Isa berkata, pihaknya telah mengambil tindakan dengan menyita bas berkenaan dan pemandu itu dikenakan kompaun malah majikannya turut diambil tindakan kerana membenarkan pemandu memandu tanpa lesen.

"Bila dia ada saman tertunggak yang tidak dibayar, dia tidak boleh perbaharui lesen menyebabkan dia abaikan sehingga lebih 10 tahun...bila dah lebih 10 tahun tak ada lesen memandu, walaupun dalam sistem tu ada (rekod) dia kena buat permohonan semula untuk memiliki lesen memandu..

Nampaknya masih ramai lagi pemandu yang tidak memiliki lesen memandu, tidak memiliki lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) semata-mata demi mengejar pendapatan kerana beranggapan ia bukanlah satu kepentingan mahupun perkara yang menjadi keutamaan," katanya.

Justeru, beliau berkata dengan adanya penguatkuasaan menerusi operasi itu dapat meningkatkan “perception of being caught” (POBC) atau persepsi ditahan kerana melakukan kesalahan dalam kalangan pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, Adenan berkata Ops Patuh Bersepadu yang dimulakan pada 1 Nov sehingga petang tadi telah mengambil tindakan terhadap 2,203 kenderaan dengan 2,806 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan.

Katanya, paling banyak adalah tiada lesen memandu dengan 763 kes selain tiada lesen kenderaan motor atau lesen kenderaan motor tamat tempoh membabitkan 421 kes.

"Selain itu, 381 saman dikeluarkan kerana tiada perlindungan insurans dan 113 lagi tiada lesen PSV serta lain-lain kesalahan termasuk kesalahan ubah suai kenderaan," katanya.

--BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan