AM

Potongan Gaji Bayaran Ptptn Kini Secara Dalam Talian

14/11/2023 02:13 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) --  Potongan gaji pekerja bagi tujuan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sebelum ini diuruskan secara manual boleh dilaksanakan secara dalam talian melalui Portal Majikan Online.

PTPTN dalam satu kenyataan memaklumkan perkhidmatan dalam talian berkenaan juga boleh digunakan untuk penabungan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

“Perkhidmatan dalam talian memberi kemudahan platform kepada majikan dengan proses pengesahan dan semakan data yang lebih mudah dengan proses keseluruhan potongan gaji dilaksanakan secara digital,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini. 

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid dalam kenyataan sama dipetik sebagai berkata Portal Majikan Online merupakan satu agenda pendigitalan ke arah perkhidmatan yang lebih cekap dan efisien.

“Potongan gaji pelanggan yang sebelum ini diuruskan secara manual kini boleh dilaksanakan oleh pihak majikan secara dalam talian melalui Portal Majikan Online di pautan https://www.ptptn.gov.my/PortalMajikan/Utama.

“Dengan adanya Portal Majikan Online, majikan boleh melakukan transaksi potongan gaji pekerja pada bila-bila masa dengan mudah, cepat dan selamat,” katanya. 

Ahmad Dasuki berharap majikan dapat membantu pekerja yang merupakan peminjam PTPTN mengambil peluang membuat bayaran balik melalui potongan gaji untuk menikmati insentif diskaun yang diberikan kerajaan. 

“Kerajaan melalui Belanjawan 2024 bersetuju dengan pemberian insentif diskaun 15 peratus untuk bayaran balik pinjaman PTPTN secara potongan gaji bermula 14 Okt 2023 hingga 31 Mac 2024,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut, pihak majikan boleh melayari Portal Rasmi PTPTN atau menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000.
-- BERNAMA

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan