AM

BANJIR: JUMLAH MANGSA DI SELANGOR DAN PERAK MENURUN

11/11/2023 09:22 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Keadaan banjir di Selangor dan Perak beransur pulih dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu kian berkurangan malam ini.

Di SELANGOR, jumlah mangsa terus mencatatkan penurunan kepada 225 orang daripada 58 keluarga berbanding 381 orang daripada 101 keluarga, pagi tadi.

Laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan empat PPS masih beroperasi di Selangor iaitu Dewan Orang Ramai Jenderam Hilir, Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil dan Dewan Orang Ramai Dengkil di daerah Sepang serta Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang di Kuala Langat.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir malam ini berkurangan kepada 432 mangsa daripada 130 keluarga berbanding 496 mangsa daripada 150 keluarga pagi tadi dengan mangsa ditempatkan di lima PPS di Hilir Perak dan Kerian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan di Hilir Perak, 168 mangsa daripada 52 keluarga masih berada di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak manakala PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, menempatkan seramai 70 orang daripada 24 keluarga.

"Seramai 40 mangsa daripada 11 keluarga pula ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Chikus.

"Mangsa banjir di daerah Kerian pula masih kekal iaitu 97 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga masih berlindung di PPS SK Alor Pongsu", menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan