Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Melihat kepada trend penggunaan produk semula jadi yang semakin meningkat, Zander Capital Sdn Bhd mengambil langkah proaktif dengan melancarkan dua produk penjagaan rambut khusus untuk ibu dan bayi bagi memenuhi pasaran tempatan.
Dua produk hasil daripada proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama setahun dan diformulasikan di Korea itu adalah tonik rambut Nyla Scalp Energising Tonic dan serum rambut Nyla Little One Serum.
Pengarah Urusannya Muhammad Atiq Idris berkata pelancaran produk itu juga selari dengan peningkatan taraf hidup dan gaya hidup sihat masyarakat kini.
“Saya bersama-sama isteri mencari produk yang sesuai terutamanya untuk wanita selepas bersalin yang mengalami keguguran rambut, tetapi kebanyakan produk antarabangsa yang kami cuba tidak sesuai dengan cuaca negara kita yang panas dan lembab dan ini menyebabkan kulit kepala menjadi tidak selesa,” katanya kepada Bernama.
Muhammad Atiq berkata mereka melaburkan kira-kira RM230,000 bagi membangunkan kedua-dua produk tersebut dan setakat ini sebanyak 1,000 botol tonik dan serum berjaya dihasilkan setiap bulan.
“Kami menerima sambutan yang menggalakkan daripada pembeli dan menyasarkan pengeluaran sebanyak 5,000 botol (tonik dan serum) setiap bulan pada tahun hadapan,” katanya.
Muhammad Atiq juga berkata mereka kini berusaha untuk mendapatkan pensijilan organik serta halal bagi memastikan keyakinan pengguna terhadap produk keluaran mereka.
Mengulas lanjut mengenai kelebihan produk tersebut, Pengasas syarikat, Tasha Shilla berkata produk yang dikeluarkan itu menggabungkan bahan-bahan premium termasuklah biotin dan sel stem yang diekstrak daripada bunga mawar untuk menggalakkan rambut yang sihat dan kuat.
Jelasnya, biotin yang digunakan dalam tonik rambut Nyla bertujuan menguatkan folikel rambut dan meningkatkan keanjalan rambut, manakala sel stem diekstrak daripada mawar melindungi folikel rambut dan menggalakkan rambut yang sihat.
Bagi produk serum Nyla Little One Serum pula, Tasha berkata ia diformulasi dengan minyak zaitun, minyak kelapa, minyak badam manis, dan bisabolol, menjadikan rambut lembut, berkilauan, dan tampak sihat serta selamat digunakan oleh kanak-kanak dan bayi.
“Masalah keguguran rambut sering berlaku sekitar dua hingga tiga bulan selepas bersalin. Ini menjadi satu inspirasi kepada saya untuk menghasilkan produk rambut yang berinovatif, bukan sahaja untuk ibu tetapi bagi anak sekali,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial