SUKAN

Petronas, Dorna Sports Perkenal Bahan Api Mampan Baharu Bagi Moto2, Moto3 Musim 2024

10/11/2023 11:55 PM

SEPANG, 10 Nov (Bernama) -- Petronas dan Dorna Sports mengumumkan penggunaan bahan api mampan baharu bagi kelas Moto2 dan Moto3 pada Jumaat, hari pembukaan Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi Grand Prix (GP) Petronas Malaysia 2023.

Menurut Petronas, syarikat minyak dan gas nasional, sebagai pembekal bahan api rasmi untuk kedua-dua kelas itu, pihaknya komited untuk menyediakan bahan api dioptimumkan mulai musim depan, memandangkan kedua-dua rakan kongsi berusaha untuk merealisasikan masa depan pelepasan karbon sifar bersih.

Pengurus Besar Kanan (Hubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan) Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata pencapaian penting menyerlahkan komitmen bersama Petronas dan Dorna Sports untuk mewujudkan laluan ke arah masa depan karbon lebih rendah, melangkaui sempadan dengan penyelesaian teknologi bendalir Petronas.

“Bagi Petronas, pembangunan bahan api mampan adalah kunci untuk memanfaatkan peluang baharu di samping kami berusaha untuk menentukan semula Petronas dalam menghadapi peralihan tenaga ini,” katanya semasa acara mengumumkan bahan api mampan baharu itu di Litar Antarabangsa Petronas Sepang sini pada Jumaat malam.

Pada 2024, Moto2 dan Moto3 akan dikuasakan sepenuhnya oleh bahan api Petronas Primax Pro-Race M2 yang dirumuskan dengan sekurang-kurangnya 40 peratus biobahan api bukan fosil, di samping terus mematuhi keperluan oktana tinggi dan oksigen rendah mengikut peraturan bahan api 2023 yang ditetapkan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

Evolusi dalam perkongsian ini membolehkan Petronas menyokong Dorna Sports dalam mencapai matlamatnya untuk memperkasakan kejohanan tersebut dengan 100 peratus bahan api mampan menjelang 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta berkata 2024 menandakan permulaan era baharu bagi kejohanan Grand Prix motosikal apabila pihaknya melakukan langkah pertama ke arah era baharu global yang menggunakan bahan api sifar karbon.

“Bekerjasama dengan rakan kongsi terkemuka dunia seperti Petronas untuk menjadikan usaha ini satu realiti dalam Moto2 dan Moto3 adalah hebat bagi kami, memastikan kedua-dua kelas itu terus mencipta prestasi luar biasa pada masa yang sama apabila menggunakan minimum 40 peratus bahan api bukan fosil, menggunakan paddock sebagai medan ujian sebelum teknologi ini menemui pelanggan sebenar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan