BERITA TERGEMPAR | Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | |
GEORGE TOWN, 1 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dipilih sebagai penerima Anugerah Perintis Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) tahun ini bagi sumbangannya dalam aspek media kepada masyarakat dan alam sekitar di negeri ini.
Majlis Anugerah Perintis ESG anjuran bersama Universiti Sains Malaysia (USM), Penang Green Council (PGC) dan Advance Dispute Resolution Centre (ADRC) itu turut disokong oleh Yayasan Amal Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.
Sebanyak 27 syarikat serta organisasi menerima Anugerah Perintis ESG berkenaan yang disampaikan Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak malam tadi, termasuk empat organisasi media iaitu Bernama, New Straits Times Press (M) Berhad, Star Media Group Berhad dan Nanyang Siang Pau Sdn Bhd.
Penasihat ADRC Tan Sri Mohd Yussof Latiff dalam ucapan pada majlis itu berkata Anugerah Perintis ESG bertujuan mengiktiraf dan meraikan organisasi yang memberi sumbangan besar terhadap kemajuan amalan perniagaan terpuji, dengan menggabungkan faktor ESG dalam aspek operasi dan proses membuat keputusan.
Beliau berkata anugerah itu bagi menggalakkan dan mengiktiraf penglibatan dunia korporat dalam aspek berkenaan.
“Dengan menyerlahkan amalan terbaik organisasi mengenai tahap kesediaan ESG mereka, anugerah ini boleh menggalakkan lebih banyak organisasi mengutamakan aspek kelestarian dan mewujudkan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya.
Mohd Yussof berkata pihaknya berharap sinergi yang diwujudkan menerusi kerjasama unik antara USM, PGC dan ADRC akan memberi manfaat dalam mewujudkan masyarakat yang berupaya menjaga kelestarian alam sekitar dan sosial secara berterusan.
Projek sulung Anugerah Perintis ESG itu turut mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pelbagai syarikat dan organisasi, katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerjasama itu tertumpu pada pengurusan tonggak sosial ESG masyarakat sebagai projek jangka panjang dengan mendorong organisasi menyumbang kepada projek berkaitan ESG dan mengiktiraf sumbangan mereka terhadap projek kelestarian yang memberi manfaat kepada masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial