SUKAN

ZII JIA DIBERI DUA MINGGU TANDATANGAN KOMITMEN RTG

01/11/2023 03:01 AM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Jaguh badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia mempunyai tempoh sehingga 14 Nov ini untuk menandatangani kontrak perjanjian persetujuan komitmen baharu (LOC) untuk terus berada dalam program Road To Gold (RTG).

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang mengesahkan Zii Jia sebagai satu-satunya atlet dalam RTG yang belum menandatangani perjanjian itu berkata, LOC adalah keperluan sebagai pertukaran kepada faedah dan perkhidmatan disediakan untuk atlet di bawah program elit ke arah memburu emas pertama negara di Sukan Olimpik.

"Saya amat menghargai jika Zii Jia meletakkan perkara ini sebagai keutamaan untuk menandatangani LOC secepat mungkin iaitu tempoh dua minggu akan datang, kerana semua atlet termasuk Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Datuk Pandelela Rinong telah melakukannya.

“Kita komited untuk membantu mereka tapi mereka mesti mempunyai komitmen untuk menyumbang kepada kerajaan. LOC itu mengatakan bahawa mereka bersetuju untuk dimasukkan ke dalam RTG, jadi mereka perlu memainkan peranan dalam mengemas kini, bekerjasama dan kerap bertemu penyelaras,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa RTG di sini hari ini.

Pada masa sama, Hannah memuji pemain berusia 25 tahun itu yang telah menunjukkan peningkatan sejak Jun apabila naik tiga tangga ranking dan 11 anak tangga dalam kedudukan kelayakan Race to Paris dengan meraih kejuaraan Terbuka Artik dan naib juara Terbuka Denmark baru-baru ini.

Mengenai atlet yang disingkirkan daripada senarai atlet RTG iaitu pasukan hoki lelaki dan dua beregu campuran profesional Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, Hannah berkata mereka masih menerima khidmat sokongan menerusi Program Podium.

“Kriteria untuk RTG adalah 10 teratas (ranking dunia), jika lebih rendah bermakna peluang untuk meraih emas kurang. Selepas digugurkan tidak bermaksud hilang semua, ada Program Podium, cuma bezanya bagi RTG adalah elaun tambahan RM3,000 sebulan.

“Saya harap mereka dapat bangkit meningkatkan prestasi. Kriteria RTG untuk Olimpik Los Angeles 2028 akan sedikit berbeza daripada sekarang yang kita akan bincangkan dalam masa terdekat,” katanya, sambil mengakui berbasikal dan badminton merupakan dua prospek utama emas di Olimpik Paris.

Sementara itu, penyelaras RTG Datuk Stuart Ramalingam berkata jawatankuasa itu telah berhubung dengan pasukan Zii Jia melalui pelbagai saluran tetapi pemain itu dikatakan sibuk dengan latihan dan pertandingan.

"Kita akan terus berhubung untuk memastikan Zii Jia memahami bahawa perjanjian komitmen ini perlu dan sangat penting. Beliau sangat sibuk dan belum ada kesempatan berjumpa dengannya.

"Kita harap beliau kembali ke Malaysia selepas pertandingan, dan meluangkan masa untuk RTG berbincang mengenai keperluannya. Dua minggu disediakan oleh jawatankuasa, kami percaya beliau akan berhubung dengan kita,” katanya.

Stuart berkata pemain profesional negara itu diberikan perkhidmatan sains sukan sebanyak dua kali di bawah program walaupun belum menandatangani LOC, bagaimanapun pembiayaan dan elaun tambahan tidak diberikan sehingga beliau menandatangani perjanjian berkenaan.

Menurut Stuart, kira-kira 50 peratus daripada RM5 juta yang diperuntukkan kepada RTG telah dibelanjakan setakat ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan