EKONOMI

ECER TARIK PELABURAN KOMITED BERJUMLAH RM10 BILION SETAKAT SEPTEMBER 2023

30/10/2023 10:40 AM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah menerima pelaburan komited berjumlah RM10 bilion dalam setakat September 2023, kata Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Setakat ini, RM2.6 bilion telah direalisasikan dan pelaburan ini merentasi pelbagai sektor termasuk pembuatan, pelancongan, perkhidmatan, pertanian serta minyak, gas dan petrokimia (OGP).

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat berkata agensi itu mempunyai kelebihan tempatan dan hubungan kukuh dengan kerajaan negeri di bawah kawasan ECER dan penggiat industri tempatan untuk menarik pelaburan dan menyediakan kemudahan menyeluruh kepada pelabur.

“Peluang yang diwujudkan oleh pelaburan swasta akan menjana pekerjaan dan peluang keusahawanan yang seiring dengan semangat Malaysia MADANI yang berusaha untuk menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Baidzawi juga berkata pelaburan dalam ECER berpotensi mewujudkan lebih 4,500 pekerjaan baharu dan lebih 600 peluang perniagaan tambahan, menjanjikan prospek ekonomi yang lebih cerah untuk rantau ini.

Sementara itu, di bawah rangka kerja ekonomi MADANI, komitmen dan usaha ECERDC untuk meletakkan ECER sebagai destinasi pelaburan pilihan melibatkan pelaksanaan infrastruktur strategik dan program pembangunan bakat (pekerja berkemahiran) dipacu industri.

Menerusi kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan rakan kongsi strategik lain, ECERDC memainkan peranan holistik dalam memudahkan pelaburan baharu ke dalam ECER dan memastikan realisasi pelaburan.

Kejayaan ECERDC dalam menarik pelaburan swasta telah disumbangkan oleh projek infrastruktur strategik yang dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan ketersambungan dan rangkaian pengangkutan sekali gus meningkatkan daya saing rantau ini sebagai destinasi pelaburan.

Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan dana yang besar untuk melaksanakan projek infrastruktur strategik.

“Sejak penubuhan ECERDC, pelaburan swasta telah mengurangkan penghijrahan keluar dan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ECER, memberikan rangsangan sosioekonomi kepada wilayah yang ketinggalan di belakang,” kata Baidzawi.

Beliau menegaskan bahawa kerjasama Kerajaan Persekutuan berterusan diperlukan untuk meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi wilayah bagi memberi manfaat kepada rakyat.

“Selain itu, dengan pertumbuhan industri kenderaan rekreasi (RV) global sebagai konsep baharu pelancongan gaya hidup, ECERDC meletakkan ECER sebagai destinasi baharu untuk industri pembuatan dan pemasangan RV.

“Ini adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai hab pembuatan RV terkemuka di rantau ASEAN dan meletakkan rantau ini pada peta untuk peminat RV,” katanya.

Baidzawi berkata ECERDC sedang mencari untuk menarik pelabur asing bagi membina dan mengendalikan taman RV mengikut standard antarabangsa di lokasi yang dikenal pasti di seluruh rantau ini.

ECERDC menggariskan strategi pembangunan untuk tahun 2025 hingga 2030 di bawah Pelan Induk ECER 3.0 yang akan menumpukan kepada enam kluster ekonomi iaitu pembuatan, OGP, perniagaan tani, pelancongan, pembangunan modal insan dan logistik serta perkhidmatan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi rantau ini sehingga 2030.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan