SUKAN

Malaysian Tigress Mula Langkah Kiri Di India

27/10/2023 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Skuad Malaysian Tigress memulakan kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita Ranchi 2023 dengan langkah kiri apabila tewas kepada Jepun 3-0, hari ini.

Perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Marang Gomke Jaipal Singh Astroturf, India itu, menyaksikan skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim ketinggalan satu gol pada suku pertama perlawanan apabila Rika Ogawa menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-13.

Jepun kembali menemukan rentak gol pada suku ketiga hasil jaringan padang Mai Toriyama pada minit ke-43, selepas menyaksikan kedua-dua pasukan ketandusan gol pada suku kedua.

Pukulan sudut penalti Shiho Kobayakawa yang disempurnakan dengan baik ketika perlawanan berbaki enam minit lagi, memaksa pasukan negara gigit jari dalam perlawanan pertama mereka.

Skuad negara akan berdepan tuan rumah esok diikuti Korea Selatan pada 30 Okt, China (31 Okt) sebelum melengkapkan format round robin menentang Thailand pada 2 Nov.

Empat pasukan teratas layak ke separuh akhir yang dijadualkan pada 4 Nov manakala final pada 5 Nov.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada ACT wanita edisi 2013 di Kakamigahara, Jepun, menamatkan kempen di tempat ketiga selepas menewaskan China 3-1.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan